Dalam wawancara eksklusif bersama Astro Awani, Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad (ZRA) berkongsi kisah yang membuka mata tentang perjuangan dan strategi di sebalik misi Global Sumud Flotilla (GSF). Dengan nada tenang beliau menjelaskan apa yang berlaku di lautan, di sebalik penahanan dan di sebalik tabir diplomasi antarabangsa.
Tuan Haji ZRA menjelaskan bahawa Malaysia dihormati di pentas antarabangsa kerana datang sebagai delegasi rasmi kerajaan, bukan sebagai kumpulan bebas. Status rasmi ini memberi perlindungan diplomatik dan membuka pintu penghormatan daripada negara lain. Kata beliau, “Kami dihormati kerana kerajaan sendiri mengiktiraf misi ini.”
Beliau membandingkan pengalaman delegasi Malaysia dengan doktor dari Sweden bernama Munif. Doktor itu datang tanpa sokongan kerajaan lalu terpaksa merayu perlindungan awam jika ditahan. Namun, Malaysia hadir sebagai delegasi yang diendors oleh kerajaan dimana ianya satu pengiktirafan yang memberi kelebihan besar di mata dunia.
Tuan Haji ZRA turut menyebut bahawa Colombia menjadi antara negara lain yang mendapat penghormatan sama. Delegasi mereka diiktiraf secara rasmi dan ini meletakkan kedua-dua negara dalam posisi unik untuk mewakili suara kemanusiaan di peringkat global.
Beliau mengimbas kembali situasi ketika kapal mereka ditahan di lautan. Menurutnya, mereka berada antara 23 hingga 51 batu nautika dari pesisir, iaitu jauh di luar kawasan kedaulatan negara. “Kami tidak melanggar perairan sesiapa. Kami berada di lautan antarabangsa tetapi ditahan oleh penjajah,” jelasnya.
Penjelasan ini penting untuk menangkis tuduhan yang mengatakan kapal Sumud melanggar undang-undang laut. Beliau menegaskan, kawasan yang mereka masuki adalah perairan P yang telah dijajah, bukan milik Isbiol. Maka, penahanan itu sebenarnya bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Tuan Haji ZRA menjelaskan bahawa tindakan menandatangani borang keluar daripada tahanan bukan tanda menyerah kalah. Ia strategi yang dirancang agar aktivis dapat keluar lebih cepat dan membawa maklumat ke dunia luar. “Kalau semua kekal dalam tahanan, siapa akan ceritakan kebenaran?” katanya tegas.
Langkah itu digelar “Break The Silence” dan keluar untuk menceritakan apa yang benar-benar berlaku. Mereka yang keluar akan menjadi saksi kepada dunia, membawa kisah sebenar tentang layanan rejim Isbiol terhadap aktivis kemanusiaan. Ini adalah fasa pertama perjuangan selepas ditahan.
Fasa kedua pula adalah “Break The Silence Push”, iaitu gerakan yang menekan kerajaan-kerajaan dunia melalui sidang media, demonstrasi dan kempen antarabangsa. Di Eropah, aktivis dari Itali dan Sepanyol sanggup dipenjarakan 60 hingga 90 hari bagi memberi tekanan ekonomi kepada rejim yang menindas.
Tuan Haji ZRA memuji keberanian mereka. Walaupun akan hilang kebebasan, mereka tahu tindakan itu boleh menyebabkan pelabuhan Eropah memperketat kawalan eksport dan boikot produk yang berkaitan dengan Isbiol. “Mereka mahu suhu politik naik, supaya dunia sedar bahawa kezaliman sedang berlaku,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa Sumud bukan gerakan sehari atau misi spontan. Ia kesinambungan daripada Freedom Flotilla dan Global Movement for G, gerakan besar yang telah lama berjuang membawa bantuan melalui laut. Sumud Nusantara hanyalah salah satu cabang daripada gerakan global itu.
Dalam wawancara itu, beliau juga meluahkan rasa terharu kerana Malaysia menjadi contoh kepada dunia. Delegasi lain kagum bagaimana sebuah negara kecil seperti kita boleh menggerakkan kerajaan untuk mengiktiraf dan menyokong misi kemanusiaan antarabangsa. “Mereka tanya, macam mana Malaysia boleh buat kerajaan sendiri endorse misi ini,” katanya sambil tersenyum.
Tuan Haji ZRA menjawab dengan yakin bahawa misi ini diketahui sejak awal lagi sebagai salah satu projek yang dinaungi oleh Perdana Menteri Malaysia. Justeru, delegasi ini tidak bertindak secara bersendirian tetapi membawa nama dan maruah negara.
Beliau juga menegaskan bahawa perjuangan ini panjang. “Orang ingat Sumud hanya berlaku satu hari. Padahal ini hasil daripada sejarah penindasan selama 77 tahun,” jelasnya. Beliau meminta orang ramai berhenti menilai misi ini hanya berdasarkan video ringkas di media sosial.
Dalam penjelasan lanjut, Tuan Haji ZRA berkata perjuangan Sumud kini memasuki fasa diplomatik. Setelah usaha melalui laut gagal kerana serangan, mereka sedang merancang untuk menghantar bantuan melalui darat dengan bantuan negara jiran. Perjuangan tidak berhenti hanya kerana kapal disekat.
Selain itu, Malaysia dan Colombia sedang bekerjasama membawa usul baharu ke Perhimpunan Agung PBB, di luar Majlis Keselamatan. Langkah ini penting kerana ia tidak boleh diveto oleh kuasa besar. Dengan majoriti dua pertiga undi, satu resolusi boleh diluluskan untuk mengenakan tindakan terhadap Isbiol yang menolak penyelesaian dua negara.
Beliau menjelaskan bahawa strategi diplomatik ini memberi kesan lebih besar daripada sekadar kecaman media. Ia membina tekanan moral dan politik terhadap negara yang terus menzalimi rakyat P. “Setiap sokongan undi adalah satu langkah ke arah perubahan,” katanya.
Tuan Haji ZRA juga menegur masyarakat yang mudah menjatuhkan hukum di media sosial. Katanya, ramai yang hanya melihat klip pendek tanpa memahami konteks sebenar. “Perjuangan tidak boleh dirumus dalam 30 saat video T*kT*k,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan ini melibatkan nyawa, undang-undang dan diplomasi antarabangsa. Segala keputusan dibuat selepas menimbang risiko dan strategi. “Kadang-kadang kita perlu berundur untuk menyusun langkah seterusnya,” katanya.
Beliau mengakui bahawa keputusan untuk menandatangani keluar bukan mudah. Namun tanpa langkah itu, misi Break The Silence tidak akan bermula. Setiap aktivis yang keluar menjadi mata dan telinga dunia.
Tuan Haji ZRA berkata, penghormatan yang diterima Malaysia di mata dunia bukan perkara kecil. Ia hasil sokongan rasmi kerajaan yang meletakkan maruah negara di medan kemanusiaan antarabangsa. “Kerana sokongan inilah Malaysia disebut sebagai contoh dalam setiap perbincangan,” katanya bangga.
Beliau turut menyebut bahawa media seperti Astro Awani memainkan peranan penting. Liputan yang telus memberi ruang kepada masyarakat memahami situasi sebenar. Ia menepis fitnah dan tuduhan yang cuba menjatuhkan imej aktivis.
Tuan Haji ZRA menegaskan bahawa perjuangan ini tidak akan berakhir dengan misi laut. Mereka kini menyusun strategi jangka panjang melalui diplomasi, ekonomi dan tekanan awam. “Ini bukan perjuangan sehari, ini perjuangan sejarah,” katanya.
Beliau menyeru rakyat Malaysia supaya tidak cepat menghukum. Sebaliknya, berikan sokongan moral dan sebarkan fakta sebenar. “Kita semua ada peranan, walaupun hanya dengan menyebarkan kebenaran,” ujarnya.
Tuan Haji ZRA percaya, setiap tindakan kecil memberi impak besar apabila dilakukan secara kolektif. Malaysia kini membawa nama baik sebagai negara yang berani berdiri bersama kemanusiaan. Inilah masa untuk terus melangkah ke hadapan.
Beliau menutup ucapannya dengan pesanan yang lembut tetapi menusuk jiwa. “Perjuangan ini panjang. Ia tidak akan selesai dalam satu misi. Tetapi selagi kita berpegang pada niat yang betul, Allah akan bukakan jalan.”
MasyaAllah, semoga Allah terus memberi kekuatan kepada para aktivis dan pemimpin yang berjuang dengan maruah. Semoga setiap langkah mereka menjadi asbab terbukanya jalan keamanan, keadilan dan kebebasan untuk rakyat di G.
Kredit: Mazlan Syafie