“Budak Curi Seluar Dihukum, Yang Curi Berbilion Dapat Pangkat” — Anwar Kenang Ujian Allah

“Saya mahu pastikan tiada siapa lagi melalui apa yang pernah saya lalui.”

Itu luahan penuh makna Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mengimbas kembali pengalaman getir lebih sedekad di penjara, yang disifatkannya sebagai titik perubahan terbesar dalam hidupnya.

Berkongsi kisah dalam sesi In Conversation with Anwar Ibrahim sempena Forum Ilmu PNB 2025, beliau mengakui pengalaman itu membuka mata terhadap sisi gelap sistem keadilan, apabila undang-undang sering dijadikan alat politik dan maruah manusia boleh hilang hanya kerana perbezaan kelas sosial.

“Pernah sekali, ketika saya dibawa ke mahkamah, saya nampak seorang budak muda dengan mata lebam. Saya tanya pengawal, boleh saya bercakap dengannya? Katanya, ‘boleh, tapi sekejap saja, nanti CCTV nampak’.

Rupanya budak itu dipenjara kerana mencuri sehelai seluar jeans — tiada peguam, tiada siapa membela. Tapi yang curi berbilion, dapat pangkat – dari Datuk Seri jadi Tan Sri, jadi Tun. Bagaimana kita boleh terima keadaan begini?” katanya, disambut tepukan hadirin.

Anwar berkata, pengalaman itu memperlihatkan betapa tidak seimbangnya sistem keadilan, apabila golongan miskin dihukum berat, manakala yang berkuasa sering terlepas.

Beliau turut menegaskan bahawa keadilan sejati bukan sekadar mematuhi undang-undang secara teknikal, tetapi perlu berpaksikan empati dan kemanusiaan.

“Ramai majistret menjatuhkan hukuman maksimum kerana mereka tahu undang-undang, tetapi tidak belajar tentang keadilan. Kita tidak boleh lupakan nilai kemanusiaan,” ujarnya.

‘Allah Uji Saya Untuk Faham Erti Keadilan’

Menurutnya, tempoh pemenjaraan itu mengajarnya makna sebenar kebebasan, belas kasihan dan tanggungjawab.

“Allah menguji saya. Ia bukan mudah untuk saya, Azizah, anak-anak dan sahabat-sahabat. Tapi saya belajar banyak perkara.

Sekarang saya berada di sini sebagai Perdana Menteri — saya mahu gunakan ujian ini sebaiknya. Tiada siapa lagi patut diperlakukan seperti saya diperlakukan,” katanya dengan nada sebak.

Anwar menegaskan, kerajaan di bawah pimpinannya akan memastikan sistem keadilan dan dasar sosial negara berpihak kepada rakyat, bukan kepada golongan berkuasa.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular