Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menyifatkan kemungkinan parti MIC keluar daripada Barisan Nasional (BN) bulan depan bukan ancaman, sebaliknya peluang untuk melakukan reset politik dan memperkukuh semula BN pasca 2018.
Menurut beliau, BN masih mempunyai sokongan pelbagai parti komponen termasuk kumpulan Friends of BN seperti Makkal Sakti, MIUP, PPP, Parti Punjabi dan Kimma, yang turut mewakili suara masyarakat India.
“MIC akan keluar BN bulan hadapan — itu pendedahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, dan setakat ini MIC tidak menafikannya. Jika benar, Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran dan Timbalannya, Datuk Seri M. Saravanan telah mencipta sejarah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
🔍
BN Tak Gentar, Sudah Lalui Fasa Perpecahan
Mohd Puad menegaskan, BN sudah biasa berdepan perpisahan parti sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila beberapa komponen meninggalkan gabungan itu.
“Ramai yang meninggalkan BN, baik secara berkumpulan mahupun individu, tapi itu tidak membunuh BN,” ujarnya.
Beliau turut menyindir tindakan MIC yang selama ini menentang kemasukan parti-parti Friends of BN sebagai ahli penuh, sedangkan sokongan masyarakat India terhadap MIC semakin merosot.
“MIC menolak parti-parti Friends of BN menjadi ahli penuh, sedangkan mereka sendiri gagal menarik semula sokongan orang India kepada BN,” katanya lagi.
⚖️
‘Biarlah MIC Pergi, BN Akan Terus Bergerak’
Puad menyifatkan, jika MIC memilih untuk keluar, langkah itu tidak memberi kesan besar terhadap kekuatan BN.
“Biarlah MIC pergi. Tidak mungkin mereka boleh bergerak solo. MIC masih perlukan sokongan orang Melayu — tapi bolehkah mereka dapatkan sokongan itu melalui Perikatan Nasional (PN)?
“Jangan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. BN jalan terus,” tegasnya.
Sebelum ini, bekas ahli MKT UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa MIC akan meninggalkan BN pada November ini, berdasarkan perbincangan dalaman parti tersebut.
MIC sehingga kini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi menafikan atau mengesahkan perkara berkenaan.