BN Ambil Kira Kriteria Etnik dan Subetnik Dalam Pemilihan Calon PRN Sabah

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) akan mengambil kira kriteria etnik dan subetnik dalam pemilihan calon yang bakal mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, faktor tersebut penting dalam memastikan calon yang diketengahkan benar-benar mewakili kepelbagaian masyarakat Sabah serta mampu membina kepercayaan di peringkat akar umbi.

Menurut Zahid, selain faktor etnik, pemilihan calon turut berasaskan konsep WALI iaitu “winnable, acceptable, likeable” calon yang boleh menang, diterima rakyat dan disenangi masyarakat.

“Kriteria pemilihan calon yang kita guna juga berdasarkan konsep WALI. Selain senarai yang dikemukakan, kita juga akan ambil kira (pemilihan calon) berdasarkan tinjauan di lapangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutup Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa BN kini dalam proses meneliti kemampuan dan prestasi nama-nama calon yang telah dikemukakan, selain mengenal pasti isu-isu utama yang akan dijadikan teras dalam manifesto pilihan raya akan datang.

“Insya-Allah, banyak muka baharu dan tokoh-tokoh muda akan diketengahkan, selain mengekalkan beberapa nama lama yang berprestasi tinggi dalam pilihan raya lepas dan menterjemahkan perkhidmatan mereka di kawasan masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jumlah kerusi yang akan ditandingi BN di Sabah akan diumumkan pada hari penamaan calon kelak.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata BN telah menyerahkan senarai nama calon PRN17 Sabah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Mahkamah Syariah untuk tujuan tapisan latar belakang, bagi memastikan hanya calon berintegriti tinggi dipilih mewakili parti.

Beliau berkata, pendekatan itu adalah sebahagian daripada usaha BN menampilkan calon yang bukan sahaja berwibawa, tetapi juga bebas daripada sebarang isu moral, salah guna kuasa dan pelanggaran undang-undang, sejajar dengan tekad memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap gabungan tersebut.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular