BERSATU Mula Bergolak, Ini Buktinya…

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini berdepan pergolakan dalaman apabila dikatakan wujud dua kem membabitkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Situasi itu semakin ketara susulan tindakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang melancarkan serangan terbuka terhadap Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, termasuk mengaitkannya dengan isu video intim lama.

Azmin menafikan tuduhan itu dan menyifatkan ia fitnah tidak munasabah. Namun, kenyataan Wan Saiful mengundang reaksi keras daripada kepimpinan Bersatu di peringkat negeri dan pusat, termasuk desakan supaya beliau dipecat.

Hashim Suboh: Konflik Tidak Boleh Disembunyikan

Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh, berkata kewujudan dua kem dalam parti kini jelas – antara kumpulan yang dikaitkan dengan Muhyiddin menerusi Azmin, dan kem Hamzah.

“Pertembungan ini dijangka berlarutan sehingga salah seorang mengalah. Malah selepas ‘Langkah Sheraton’, wujud juga kem kecil lain dalam Bersatu.

“Saya melihat untuk memulihkan Bersatu, perlu ada perubahan kepimpinan. Hamzah dilihat lebih disenangi Pas dan generasi muda dalam parti itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hashim turut mendakwa, masalah Bersatu bertambah rumit apabila Muhyiddin membuka ruang kepada bekas pemimpin UMNO yang dipecat untuk menyertai parti. Katanya, Azmin sendiri belum dilihat sebagai tokoh sebenar Bersatu.

Desakan Tindakan Terhadap Wan Saiful

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal, menegaskan perbezaan pandangan dalam parti seharusnya diselesaikan secara dalaman, bukan melalui media.

“Membawa isu dalaman secara terbuka hanya akan mengeruhkan keadaan, melemahkan perpaduan serta membuka ruang kepada pihak lawan,” katanya.

Sementara itu, semua 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Selangor turut mendesak Lembaga Disiplin memecat Wan Saiful.

“Kenyataan beliau jelas tidak bertanggungjawab dan hanya usaha terdesak mengalih perhatian daripada kegagalan komplot jahat, termasuk percubaan menjatuhkan Presiden melalui gerakan akuan bersumpah (SD) yang tidak mendapat sambutan,” menurut kenyataan bersama itu.

Mereka turut menggesa siasatan diteruskan terhadap Wan Saiful yang kini berdepan pendakwaan di mahkamah atas pertuduhan menggelapkan wang jutaan ringgit.

Krisis Kepimpinan

Menurut penganalisis, pertembungan Azmin–Hamzah dilihat sebagai perebutan pengaruh yang boleh menentukan hala tuju Bersatu menjelang pilihan raya akan datang.

Hashim menegaskan masa depan Bersatu tidak seharusnya hanya berpusat kepada cita-cita peribadi untuk kembali menjadi Perdana Menteri, sebaliknya memberi laluan kepada kepimpinan baharu yang mampu mengembalikan identiti parti.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular