Mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Dungun memutuskan untuk mengemukakan usul agar Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berehat daripada jawatan, selain mencadangkan pertukaran Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan.
Ketua Bahagian Dungun, Datuk Aziz Ismail, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat bahagian pada 20 Oktober melibatkan kepimpinan tiga sayap — Bahagian, Srikandi dan Armada.
“Usul ini bukan tergesa-gesa atau bersifat penentangan, sebaliknya isyarat jelas akar umbi Dungun kepada pucuk pimpinan,” katanya kepada Sinar Harian. “Kami bersedia mengadakan AGM dan membawa usul ini ke peringkat lebih tinggi.”
Aziz menjelaskan, tiga usul diluluskan:
- Presiden berehat;
- Pertukaran Setiausaha Agung;
- Pertukaran Ketua Penerangan.
Ketika ini, jawatan Setiausaha Agung disandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, manakala Ketua Penerangan dipegang Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Menurut Aziz, pertimbangan usul dibuat mengambil kira faktor kesihatan dan perbicaraan mahkamah melibatkan Muhyiddin, di samping keperluan menstabilkan hubungan dengan rakan komponen Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS.
“Dalam konteks Terengganu, kita tidak mahu kekecohan isu calon PM atau ‘poster boy’. Kerjasama dengan PAS penting — tanpa PAS mustahil kita menang walau satu kerusi,” ujarnya.
Beliau menegaskan langkah itu bukan melemahkan parti, sebaliknya untuk mengembalikan keyakinan dan halatuju asal Bersatu sebagai parti yang menolak rasuah serta salah guna kuasa.
“Dulu kita perjuangkan Bersatu sebagai wadah bersih daripada kes mahkamah, tapi kini kita juga terpalit. Perlu ada keberanian melakukan pembetulan dalaman,” katanya sambil menambah Bersatu berpotensi besar di Terengganu dengan sekurang-kurangnya lima ADUN dan peluang beberapa kerusi Parlimen jika strategi disusun.
Aziz hadir ke Jelajah Selamatkan Maruah Ahli & Kepimpinan (Semarak) di Pengerang, Johor, hari ini sebagai sebahagian usaha menerangkan keputusan akar umbi kepada ahli.

