Belanjawan 2026 Bukti Kerajaan Madani Tidak Pinggirkan Kaum India – Ramanan

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan, menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai bukti jelas komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tidak meminggirkan mana-mana kaum, termasuk masyarakat India, daripada arus pembangunan negara.

Beliau berkata, belanjawan kali ini memperlihatkan dasar inklusif dan berteraskan rakyat, dengan tumpuan kepada keadilan sosial, kesejahteraan ekonomi serta pemerkasaan komuniti tanpa mengira latar belakang. “Belanjawan ini benar-benar berteraskan rakyat. Ia membuktikan iltizam kerajaan untuk membela setiap komuniti tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ramanan yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal masyarakat India turut menyambut baik peruntukan keseluruhan sebanyak RM419 bilion, yang merangkumi pelbagai inisiatif keusahawanan, pembiayaan, pendidikan dan kebajikan rakyat. Katanya, peruntukan RM220 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan menjadi pemangkin utama memperkasa sosioekonomi masyarakat India melalui program keusahawanan, latihan kemahiran dan peningkatan pendapatan.

“Langkah ini selaras dengan usaha berterusan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan India yang berdaya saing dan berjaya, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat,” katanya.

Ramanan turut menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif prihatin rakyat yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM1 bilion, serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 berjumlah RM2 bilion yang diawalkan pembayarannya sempena sambutan Deepavali. “Diskaun khas tol 50 peratus ketika Deepavali juga membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang meraikannya,” tambahnya.

Dalam aspek pendidikan, beliau memuji keputusan kerajaan untuk membina semula Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jeram di Pahang, selain memperuntukkan hampir RM2 bilion bagi menaik taraf 520 sekolah daif, termasuk sekolah Tamil di seluruh negara. “Ini memastikan anak-anak kita menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif,” katanya.

Ramanan menegaskan bahawa Belanjawan 2026 adalah manifestasi sebenar Malaysia MADANI – yang bukan sahaja memperkukuh ekonomi negara, tetapi juga menegakkan prinsip keadilan sosial, keterangkuman dan perpaduan antara semua kaum.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular