Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan petang ini bukan sekadar dokumen angka dan perbelanjaan, sebaliknya menjadi hala tuju strategik untuk memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan kekal komited melaksanakan dasar fiskal berhemah dengan memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat serta pengukuhan ekonomi nasional. “Insya-Allah, petang ini saya akan membentangkan Belanjawan MADANI Keempat di Dewan Rakyat. Belanjawan ini bukan sekadar angka dan perbelanjaan tetapi hala tuju untuk memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Belanjawan 2026 merupakan belanjawan keempat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, dan yang pertama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) — sekali gus menjadi asas utama kepada pelaksanaan pelan pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menurut kenyataan Prabelanjawan 2026, pembentangan kali ini akan meneruskan momentum kukuh hasil pelaksanaan Belanjawan MADANI terdahulu. Ia dijangka menumpukan kepada tiga tonggak utama Ekonomi MADANI, iaitu:
- Menaikkan siling pertumbuhan negara,
- Meningkatkan lantai taraf hidup rakyat, dan
- Memperkukuh tatakelola serta reformasi sektor awam.
Pembentangan Belanjawan 2026 akan disiarkan secara langsung melalui Utusan Malaysia, stesen televisyen tempatan serta pelbagai platform media sosial, bagi membolehkan rakyat mengikuti secara langsung hala tuju ekonomi dan sosial negara menjelang tahun depan.