Bekas Pekerja Bank Salahguna Akses Sistem — Dedah Maklumat 1,000 Pelanggan Guna WhatsApp

Seorang bekas pekerja bank, Cao Wenqing, 30, didapati bersalah oleh mahkamah Singapura kerana mendedahkan maklumat lebih 1,000 pelanggan United Overseas Bank (UOB) kepada seorang penipu yang menyamar sebagai anggota polis China.

Laporan Channel News Asia (CNA) menyebut bahawa Cao, yang merupakan penduduk tetap Singapura dan warganegara China, disabitkan atas 14 pertuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan 13 pertuduhan di bawah Akta Perbankan.

“Dia Sedar Apa Yang Dilakukan” — Hakim

Tertuduh sebelum ini menafikan kesalahan, mendakwa dirinya ditipu oleh individu menyamar sebagai pegawai polis Shanghai.

Namun, Hakim Daerah James Elisha Lee menolak alasan tersebut, menegaskan bahawa Cao — yang memiliki kelayakan akademik dan latihan profesional tinggi — sedar sepenuhnya akan tanggungjawab dan kerahsiaan maklumat pelanggan bank.

“Dia boleh sahaja menghubungi pihak polis Shanghai sendiri untuk mengesahkan identiti mereka, seperti yang akhirnya dilakukan selepas membaca artikel mengenai penipuan serupa,” kata Hakim Lee.

Mahkamah menyifatkan tindakannya sebagai tidak munasabah dan cuai, terutama kerana gagal mengesahkan identiti individu yang menghubunginya melalui WhatsApp.

Modus Operandi: Guna Akses Dalaman Bank

Menurut kertas pendakwaan, Cao ketika itu bertugas sebagai pegawai junior di jabatan gadai janji UOB, dan hanya dibenarkan mengakses pangkalan data pelanggan untuk urusan rasmi.

Namun pada Mac 2021, dia dihubungi dua individu bernama Xiang Ying Dong dan Kapten Lu, yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis China kononnya menjalankan “siasatan kewangan antarabangsa.”

Cao bersetuju membantu mereka dan, atas arahan “Lu”, menggunakan komputer pejabat untuk mencari maklumat pelanggan berbangsa Cina dengan menapis nama keluarga biasa seperti “Wang”, “Li” dan “Zhang”.

Dia kemudian menyalin nama, nombor pengenalan, baki akaun dan nombor telefon pelanggan ke dalam fail Excel, sebelum mengambil gambar fail itu dan menghantarnya melalui WhatsApp kepada “Lu”.

Setiap kali selesai mengumpulkan 50 hingga 100 rekod, Cao memadamkan fail berkenaan untuk mengelak dikesan. Dia turut melakukan carian individu khusus apabila diarahkan, termasuk menghantar tangkapan skrin profil pelanggan dari sistem bank kepada pihak tersebut.

Bakal Dihukum Dalam Masa Terdekat

Kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer boleh membawa hukuman penjara sehingga 3 tahun atau denda hingga SGD$10,000 bagi setiap pertuduhan, manakala kesalahan di bawah Akta Perbankan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda hingga SGD$125,000.

Mahkamah menetapkan tarikh hukuman akan diumumkan kemudian selepas mendengar hujah kedua-dua pihak berhubung jumlah kerugian dan tahap kerahsiaan data yang terjejas.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular