Bawa Pelaku Jenayah Bawah Umur Ke Tali Gantung – Mimi Lana

Pelakon popular, Mimi Lana tampil bersuara lantang mengenai isu jenayah seksual dan keganasan terhadap kanak-kanak, mencadangkan agar pesalah bawah umur turut dikenakan hukuman berat, termasuk hukuman gantung, sekiranya terbukti bersalah.

Menerusi satu hantaran di platform Threads, pelakon filem The Experts itu menyuarakan rasa kecewa terhadap peningkatan kes jenayah membabitkan remaja dan pelajar sekolah yang dilihat semakin membimbangkan.

“Rasanya kes jenayah bawah umur ini sudah boleh dibawa ke kes tali gantung. Mereka ini besar kepala sebab akta bawah umur ini selalu selamatkan mereka,” katanya.

Kritik Sikap Ibu Bapa Ambil Mudah

Dalam hantaran sama, Mimi turut menyelar sikap segelintir ibu bapa yang dikatakan terlalu mengambil ringan terhadap kesalahan serius dilakukan oleh anak mereka, terutama yang melibatkan gangguan dan keganasan seksual.

“Ibu bapa pun ambil sambil lewa mengenai isu ini. Konon anak bawah umur tak berfikiran rasional. Rogol anak orang, buli anak orang pandai pula,” ujarnya tegas.

Netizen Sokong, Minta Undang-Undang Diperketat

Kenyataan tegas pelakon berusia 28 tahun itu mendapat sokongan luas dalam kalangan netizen, yang bersetuju agar pihak berkuasa mengetatkan undang-undang terhadap pelaku jenayah seksual, tanpa mengira usia.

Rata-rata pengguna media sosial turut menyuarakan kebimbangan bahawa akta perlindungan bawah umur sering disalah guna dan memberi ruang kepada pesalah muda terlepas daripada hukuman setimpal.

Kes Terkini di Melaka Jadi Titik Perhatian

Teguran Mimi muncul susulan kes rogol berkumpulan di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka, yang melibatkan empat pelajar Tingkatan Lima.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan, selepas mangsa, seorang pelajar Tingkatan Tiga, mendakwa dirogol secara bergilir-gilir oleh suspek di asrama sekolah.

Insiden berkenaan mencetuskan gelombang kemarahan masyarakat, dan ramai berpendapat bahawa hukuman sedia ada tidak lagi mencukupi untuk mengekang jenayah serius dalam kalangan remaja.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular