Nama Azizah Salsha kembali menjadi bualan hangat di media sosial selepas pempengaruh berusia 22 tahun itu dilihat meluangkan masa bersama lelaki yang pernah dikaitkan sebagai skandalnya, Nadif Zahiruddin, tidak lama selepas bercerai dengan pemain bola sepak kebangsaan Indonesia, Pratama Arhan.
Menerusi beberapa foto dan video yang tular, Azizah dilihat bermain sukan padel sambil disaksikan Nadif yang duduk di barisan hadapan dan merakam aksinya. Rakaman tersebut mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan warganet yang menyifatkan tindakan itu “tidak wajar dan tidak sensitif” memandangkan Azizah masih berada dalam tempoh iddah.
“Baru sebulan bercerai, sudah tampil mesra dengan lelaki lain. Ini terlalu cepat,” tulis seorang pengguna di platform X.
Menurut laporan Insertlive, Azizah dan Pratama sah bercerai pada 29 September 2025, selepas dua tahun mendirikan rumah tangga di Jepun. Berdasarkan hukum Islam, wanita yang bercerai perlu melalui iddah selama tiga kali suci (bagi yang masih haid) atau 90 hari (jika tidak haid), dan tidak dibenarkan menerima lamaran mahupun bernikah semula dalam tempoh tersebut.
Netizen juga mendakwa Nadif merupakan individu sama yang pernah dikaitkan sebagai punca keretakan rumah tangga Azizah dan Pratama, meskipun perkara itu tidak pernah disahkan kedua-dua pihak.
Sebahagian peminat turut meluahkan rasa simpati terhadap Pratama yang kini sedang menumpukan perhatian kepada latihan bersama pasukan kebangsaan Indonesia.
Walaupun dikecam hebat, Azizah setakat ini masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung kontroversi terbaharu itu di mana ramai pemerhati menyifatkannya boleh menjejaskan imej dan reputasi digital pempengaruh muda berkenaan.

