Antara Cukai & Kesejahteraan: Belanjawan 2026 Jadi Ujian Keberanian Kerajaan MADANI

Pembentangan Belanjawan 2026 yang akan berlangsung hari ini dijangka menjadi antara yang paling mencabar dalam sejarah terkini negara, ketika Malaysia berdepan tekanan ekonomi global, ketidaktentuan pasaran serta desakan untuk memperkukuh kedudukan fiskal tanpa membebankan rakyat.

Bank Dunia baru-baru ini memberi amaran bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka mendatar tahun depan, susulan kelembapan global dan risiko tarif baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap beberapa sektor perdagangan utama. Dalam keadaan itu, fokus kerajaan kini tertumpu kepada belanjawan yang bersifat inklusif, berhati-hati dan berhemah, dengan matlamat mengekalkan kesejahteraan rakyat serta mengawal defisit fiskal negara.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri, berkata kerajaan perlu menyeimbangkan antara peningkatan hasil negara dan kesejahteraan rakyat. “Belanjawan bukan hanya soal angka atau imbangan fiskal, tetapi soal kesejahteraan rakyat. Ekonomi boleh stabil seperti bangunan kukuh, tetapi jika rakyat tertekan dan tidak sejahtera, pembangunan itu tidak akan mampan,” katanya.

Menurutnya, langkah menambah hasil melalui kenaikan cukai perlu dilakukan secara berhati-hati agar tidak menjejaskan golongan rentan. Beliau turut mengingatkan bahawa tekanan ekonomi berpanjangan turut memberi kesan terhadap kesihatan mental rakyat. Sebagai alternatif, beliau mencadangkan kerajaan menarik pelaburan langsung asing (FDI) dengan memanfaatkan kelebihan infrastruktur, pelabuhan dan zon industri sedia ada, berbanding memperkenalkan cukai baharu.

Berkaitan cadangan pelaksanaan cukai kenderaan elektrik (EV), beliau menyarankan insentif semasa dilanjutkan dua hingga tiga tahun lagi bagi merangsang pasaran tempatan dan memberi manfaat kepada industri automotif nasional. “Minat terhadap EV masih di peringkat awal. Dengan pelancaran model mampu milik seperti Proton e.MAS 5 berharga sekitar RM60,000, ia memberi peluang kepada golongan B40 untuk menyertai transformasi hijau,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, menjangka kerajaan akan mengambil pendekatan berhemat tanpa memperkenalkan cukai baharu, sebaliknya memberi tumpuan kepada penjimatan melalui rasionalisasi subsidi. “Peralihan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar boleh menjimatkan perbelanjaan negara, dan dana itu boleh digunakan untuk membantu rakyat serta mengurangkan defisit,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan mengurangkan ketirisan, pembaziran dan rasuah, selain menarik lebih banyak pelaburan berkualiti sebagai sumber pendapatan baharu.

Pakar ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai, pula menjangka kerajaan akan menumpukan kepada pengurusan fiskal berhemat dengan matlamat mengurangkan defisit kepada sekitar 3.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Katanya, langkah itu boleh dicapai melalui pelaksanaan cukai karbon, peluasan sistem e-invois serta pelarasan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Kerajaan akan menambah pendapatan dengan memperluas asas percukaian dan mengurangkan kebocoran sistem sedia ada,” katanya sambil menjangka skim bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan subsidi bersasar untuk petani, pesawah serta nelayan akan diteruskan.

Beliau turut menekankan pentingnya kerajaan meningkatkan semula perbelanjaan modal bagi mengelakkan risiko kelembapan jangka panjang dalam pertumbuhan ekonomi. “Perbelanjaan modal jatuh daripada 4.4 kepada 3.3 peratus KDNK – ini perlu dipulihkan segera,” katanya.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2026, tumpuan dijangka terarah kepada pemerkasaan sektor strategik seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pembuatan hijau dan pendigitalan – sebagai pemacu baharu pertumbuhan, di samping memastikan perlindungan sosial rakyat terus terpelihara.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular