Malaysia bakal mewajibkan semua pengendali media sosial melaksanakan pengesahan identiti elektronik (eKYC – electronic Know Your Customer) bagi memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun di platform tersebut.
Langkah drastik itu diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, susulan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar ekoran beberapa kes jenayah melibatkan remaja, termasuk kes rogol bergilir-gilir di Melaka dan tragedi pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam rakan sekolah lelaki di Petaling Jaya, baru-baru ini.
“Saya telah nyatakan dengan jelas kepada semua wakil platform media sosial bahawa Malaysia akan mewajibkan pengesahan identiti eKYC, khususnya bagi menghalang kanak-kanak bawah 13 tahun memiliki akaun,” katanya semalam.
Fahmi berkata, beliau akan membentangkan garis masa pelaksanaan eKYC kepada Jemaah Menteri sebelum pengumuman rasmi dibuat dalam masa terdekat.
SKMM Akan Bertemu Platform Sosial Minggu Depan
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengadakan mesyuarat dengan syarikat media sosial utama minggu depan bagi membincangkan pelaksanaan teknikal dan langkah peralihan ke arah sistem pengesahan identiti ini.
Langkah ini dijangka memberi kesan kepada semua platform utama seperti Facebook, Instagram, TikTok, YouTube dan X (Twitter), dengan tujuan memastikan setiap akaun dikaitkan dengan identiti sah pemiliknya, sekali gus mengurangkan risiko akaun palsu dan eksploitasi kanak-kanak.
“Langkah ini bukan sekadar perlindungan digital, tetapi juga untuk memastikan tanggungjawab sosial platform diperkukuh,” tambah Fahmi.
Anwar Tegas Isu Telefon Pintar & Disiplin Pelajar
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas berhubung keselamatan pelajar di sekolah, termasuk menilai semula pengaruh telefon pintar dan media sosial terhadap tingkah laku pelajar.
“Apabila kita lihat secara menyeluruh, hampir kesemuanya berbalik kepada telefon pintar, media sosial, dan aplikasi. Maka kerajaan harus ambil tindakan tegas,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan semalam.
Anwar turut menegaskan bahawa pihak sekolah dan keluarga perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mendidik serta memantau anak-anak, agar tidak terpengaruh dengan budaya toksik dan jenayah siber di alam maya.