Barisan Nasional (BN) Sabah bakal mempertaruhkan 81 peratus calon muka baharu termasuk 50 peratus calon muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kesemua calon itu akan mewakili gabungan parti komponen BN termasuk UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bagi 48 kerusi yang disasarkan, manakala selebihnya akan diserahkan kepada Pakatan Harapan (PH) di bawah semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan.
“Hampir 81 peratus adalah calon muka baharu dan anak-anak muda untuk BN menghadapi PRN Sabah dengan kerjasama PH bagi mengekalkan kestabilan politik di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Bung Moktar memaklumkan bahawa senarai calon dan kerusi akan diumumkan seminggu sebelum hari penamaan calon, selepas mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis ini.
BN Tawar Rancangan Pembangunan Sabah 1
Beliau berkata, pelancaran jentera pilihan raya BN akan dibuat serentak dengan pengumuman calon, termasuk pembentangan “Janji Tawaran Baharu BN Sabah” menerusi Rancangan Pembangunan Sabah 1, yang menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan masa depan belia negeri itu.
“Bermacam tawaran baharu akan kita bentangkan untuk memperbetulkan ekonomi dan kehidupan rakyat Sabah, termasuk peluang untuk anak-anak muda,” katanya.
Tumpu Isu Rakyat — Air, Elektrik dan Jalan Raya
Menurut Bung Moktar, BN akan memberi keutamaan kepada tiga isu utama rakyat Sabah — bekalan air, elektrik dan infrastruktur jalan raya.
Beliau menegaskan bahawa masalah bekalan air akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun sekiranya BN kembali mentadbir, manakala isu jalan raya dan elektrik akan diberi perhatian berterusan.
“Masalah air kita akan selesai dalam tiga tahun. Jalan raya dan elektrik pula akan diselesaikan terus menerus. Contohnya, projek Lebuhraya Pan Borneo perlu diberi tekanan oleh kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan supaya mempercepatkan peruntukan,” ujarnya.
Pendidikan Percuma dan Tabung Kemakmuran Negeri
Bung Moktar turut memaklumkan bahawa BN Sabah akan menggariskan inisiatif pendidikan percuma hingga ke peringkat universiti untuk anak Sabah serta menubuhkan Tabung Kemakmuran Negeri bagi menjamin masa depan rakyat negeri itu.
“Kita mahu rakyat Sabah menikmati pembangunan secara menyeluruh — bukan hanya di bandar, tetapi juga di luar bandar,” katanya.

