9 Aktivis Malaysia Bebas – Diterbangkan ke Istanbul Malam Ini

Sembilan aktivis Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dijangka antara 95 aktivis antarabangsa yang akan diterbangkan ke Turkiye pada Jumaat malam, kata Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar.

Menurutnya, pesawat yang membawa aktivis dari 22 negara itu dijadual mendarat di Istanbul sekitar jam 3 petang waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia). “Maklumat yang kami terima daripada command centre Freedom Flotilla Coalition di Turkiye menyatakan Kementerian Luar Negeri Turkiye telah mengesahkan penerbangan khas dari Israel ke Istanbul hari ini. Kami masih menunggu pengesahan rasmi daripada Wisma Putra berhubung sembilan aktivis Malaysia di dalam penerbangan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MyCARE, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, antara enam aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) lain yang dijangka menaiki penerbangan sama termasuk dua dari Norway, dua dari Maghribi dan satu dari Sepanyol. Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua aktivis Malaysia berada dalam keadaan sihat dan stabil, seperti yang dimaklumkan oleh peguam dan sumber diplomatik.

“Alhamdulillah, kesemua aktivis Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan baik. Kami juga telah berhubung dengan keluarga mereka bagi membuat persiapan sewajarnya. MyCARE turut menghantar wakil ke Istanbul untuk membawa pakaian ganti dan keperluan asas kerana difahamkan kumpulan GSF seramai 400 orang kehilangan sebahagian besar barangan peribadi mereka,” katanya.

Antara sembilan aktivis Malaysia yang terbabit dalam misi tersebut ialah Profesor Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr. Fauzian Mohd Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr. Mohd Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, serta wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Sebelum ini, laporan antarabangsa mendedahkan bahawa kesemua 145 aktivis flotilla ditahan di penjara Ketziot, Negev, Israel, dan proses tribunal terhadap sembilan rakyat Malaysia dijangka selesai tengah malam Khamis. Semua tahanan telah menandatangani surat deportasi, dan peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) masih memantau urusan pelepasan mereka.

Misi FFC x TMTG sebelum ini membawa bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan ubat-ubatan untuk rakyat Gaza, namun konvoi tersebut dipintas secara tidak sah oleh tentera Israel di perairan antarabangsa, mencetuskan kecaman antarabangsa terhadap tindakan rejim Zionis yang disifatkan sebagai pencabulan undang-undang maritim dan hak asasi manusia.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular