4 Pelajar Terlibat Kes Rogol Di Melaka Dibenar Duduki SPM

Empat pelajar tingkatan lima yang dipercayai terlibat dalam kes rogol bergilir-gilir seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di sini, dibenar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula 3 November ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Ketua Polis Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan semua pelajar tetap mendapat hak mereka dalam pendidikan walaupun berdepan tindakan undang-undang.

“SPM akan tetap diteruskan dan kita akan pastikan juga supaya mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan mereka.

Tindakan undang-undang akan diserahkan kepada pihak polis, manakala KPM akan menguruskan aspek disiplin, ekosistem, serta sokongan emosi kepada pelajar-pelajar lain di sekolah,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat di JPN Melaka, hari ini.

Turut hadir dalam sesi tertutup itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman, Ketua Pengarah Pelajaran, Dr. Mohd Azam Ahmad, dan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

Fadhlina menjelaskan bahawa keputusan membenarkan pelajar terbabit menduduki peperiksaan tidak bermaksud mereka dilepaskan daripada sebarang tindakan, sebaliknya menunjukkan pendirian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memelihara hak pelajar terhadap akses pendidikan tanpa mengabaikan aspek keadilan dan tanggungjawab.

“Tindakan undang-undang tetap berjalan. Namun, sebagai Kementerian Pendidikan, kita juga bertanggungjawab memastikan hak anak-anak ini terhadap pendidikan tidak dinafikan. Pada masa yang sama, kita memberi tumpuan kepada pemulihan dan keselamatan mangsa,” tegasnya.

Menurutnya, mangsa kini sedang dirawat dan menerima sokongan emosi di hospital, manakala pasukan kaunselor KPM telah digerakkan ke sekolah berkenaan bagi memberikan bimbingan dan pemulihan kepada seluruh warga sekolah.

“Mangsa ketika ini sedang mendapatkan rawatan di hospital dan juga sokongan emosi di peringkat hospital. Kaunselor akan turun memberikan sokongan penuh kepada warga sekolah dan anak-anak kerana sekolah ini antara yang terbaik di Melaka,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang pelajar Tingkatan Tiga dirogol dua pelajar senior dalam kelasnya sendiri pada 2 Oktober lalu, sekitar pukul 2.50 petang. Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa kembali ke kelas untuk mengambil bahan projek Sains yang tertinggal.

Insiden itu terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat daripada guru berhubung penyebaran video tidak senonoh melibatkan anaknya, sebelum membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah. Polis kemudian menahan empat pelajar lelaki terbabit untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular