KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) telah menghantar senarai nama calon bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah kepada pihak berkuasa untuk proses tapisan bagi memastikan hanya individu yang memiliki latar belakang integriti tinggi dipilih mewakili parti itu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, senarai tersebut diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Mahkamah Syariah.
“Kami menerima antara empat hingga lima nama bagi setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tapisan sememangnya dilakukan, bukan hanya terhadap calon yang bakal bertanding. Mungkin selepas ini kepimpinan negeri sama ada di peringkat DUN atau bahagian juga akan melalui proses penapisan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Inspirasi Wanita Luar Biasa Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Jelita GiatMARA di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi MARA merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; serta Penasihat Kehormat RISDA merangkap Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa kebolehmenangan calon akan menjadi keutamaan BN pada PRN kali ini.
“Jumlah kerusi DUN yang akan ditandingi BN di Sabah akan dibincangkan bersama Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin,” jelasnya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tiada pembubaran dibuat lebih awal bagi memberi laluan kepada PRN17.