Tuduhan Kerajaan MADANI Anti-Islam Adalah Fitnah Politik – Anwar

MELAKA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak tuduhan tidak berasas bahawa Kerajaan MADANI menentang Islam, sebaliknya menegaskan bahawa pihak lawan sengaja memperalatkan isu agama demi kepentingan politik.

Berucap pada sambutan ulang tahun ke-27 Reformasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Anwar menyelar tindakan segelintir pemimpin pembangkang yang menurutnya menggunakan agama sebagai topeng untuk menyerang kerajaan dengan kata-kata kesat dan tuduhan liar.

“Saya jarang komen tentang orang, tapi bila dengar seorang Ahli Parlimen kata ‘maruah kita sudah rosak’, saya hendak tanya, masa mereka perintah dulu, PAS bersama kerajaan, judi ditambah atau tidak? Jangan bercakap ikut nafsu, berlapik dengan agama tetapi hakikatnya bercanggah,” katanya.

Anwar menegaskan, kerajaan tidak pernah menentang Islam, malah memperkukuhnya melalui pelbagai inisiatif termasuk menambah peruntukan untuk pembangunan Islam, membantu maahad tahfiz, serta memberi peluang kepada anak-anak huffaz untuk mendapat latihan di institut Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Di mana kita menentang Islam? Peruntukan untuk Islam kita tambah, maahad tahfiz kita bantu, anak-anak huffaz kita bawa ke TVET serta diberi latihan,” katanya.

Beliau turut membandingkan rekod pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya gagal memperkukuh agenda Islam, malah menambah lesen khas nombor ramalan.

“Bandingkan kerajaan MADANI dengan PN. Program Islam apa mereka buat di Kementerian Pendidikan? Judi mereka tambah sampai 22 kali cabutan. Tapi PAS tidak wajar kritik kerana ketika mereka dalam kerajaan, merekalah yang menaikkan jumlah itu,” tegasnya.

Menurut Perdana Menteri, perjuangan Reformasi sejak dahulu mendidik rakyat untuk menegur berasaskan fakta, bukan melabel pihak lain dengan kata-kata seperti kafir atau munafik tanpa bukti.

“Kita ajar keberanian untuk sanggah rasuah, bukan guna agama untuk menipu rakyat,” katanya, sambil menekankan komitmen kerajaan MADANI untuk menzahirkan nilai Islam melalui pentadbiran yang bersih, adil, dan membela rakyat.

Beliau turut mengingatkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kebebasan penuh untuk bertindak tanpa campur tangan politik.

“Kalau ada menteri, timbalan menteri atau sesiapa sahaja dalam kerajaan ini terlibat rasuah, kita tidak akan lindungi. Harta yang dicuri mesti dipulangkan kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, kerajaan MADANI, menurut beliau, akan terus memperkukuh perpaduan dengan menolak politik kebencian perkauman, di samping memastikan pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak termasuk menaik taraf sekolah daif serta mempercepat projek infrastruktur asas.

Anwar turut menegaskan bahawa pelaburan strategik dalam sektor semikonduktor di Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah akan dipacu, sejajar dengan hasrat Malaysia menjadi pemain utama teknologi baharu di rantau ini.

“Negara ini mesti dipimpin dengan tekad, kerja keras dan amanah, bukan dengan retorik atau kebencian. Malaysia MADANI adalah untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Terdahulu, Anwar turut merasmikan ibu pejabat Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular