Tolak Sengketa Dalaman, Kukuhkan Perpaduan – Shamsul Iskandar

Frasa ‘pisau di kiri’ menjadi peringatan tegas kepada ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka supaya menolak sengketa dalaman dan mengukuhkan perpaduan selepas pemilihan parti.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pantun yang dikongsikan ketika ucapan melambangkan sikap berwaspada terhadap perpecahan yang boleh melemahkan persediaan dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada tahun hadapan.

Malah, menurutnya, pantun berbentuk persoalan itu juga membawa maksud tiada ruang untuk ‘senjata tersembunyi’ atau rasa curiga selepas pemilihan parti, sekali gus menjadikan saat ini tempoh untuk ahli PKR negeri ini terus memperkukuh saf tanpa wujud sikap berpuak-puak.

“Kalau kita benar-benar mahu bermuafakat, tidak perlu ada pihak yang membawa ‘pisau di kiri’ atau membangkitkan perkara titik bengik (perkara kecil).

“Oleh itu, kita sebagai parti reformasi perlu berani melakukan perubahan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Sambutan 27 Tahun Reformasi anjuran MPN Melaka di sebuah hotel di Bandar Melaka, malam Sabtu.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa majlis memperingati Reformasi 1998 akan dijadikan acara tahunan di Melaka bagi meneruskan penganjuran di peringkat nasional tahun lalu.

Ujar beliau, perpaduan akar umbi juga amat penting bagi memastikan parti bersedia menghadapi cabaran politik semasa.

Katanya, program ini mempunyai tiga matlamat utama, iaitu menghargai pejuang awal melalui sumbangan, menelusuri semula jejak perjuangan, selain menyatukan rakan daripada pelbagai parti yang pernah bergerak bersama sejak era Reformasi.

“Acara seperti ini mengikat semula rakan-rakan dari pelbagai parti. Misalnya, Datuk Hassan Baharom, penggerak awal Parti Keadilan di Melaka, kini bersama Parti Amanah, namun tetap hadir.

“Sambutan malam ini yang dihadiri ratusan anggota akar umbi dianggap bukti komitmen dan semangat bersama untuk memperkukuh parti,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular