Hari pertama pelaksanaan sistem Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi pengguna biasa berjalan lancar meskipun diselangi dengan pelbagai ragam pengguna di stesen minyak.
Tinjauan pihak media di 13 stesen minyak bermula dari Labok, Machang hingga ke Laloh, Kuala Krai mendapati jualan petrol tidak mengalami gangguan, malah pekerja stesen cekap mengendalikan situasi.
Antara isu yang timbul ialah lesen memandu tamat tempoh, cip MyKad rosak dan pengguna tertinggal kad pengenalan. Ada juga segelintir pelanggan yang enggan menyerahkan kad pengenalan, bahkan sanggup membayar harga tanpa subsidi.
Pengalaman Pengguna
Seorang guru Fardu Ain, Mohd Asri Mohd Nor, 50, mengakui pada mulanya menyangka sistem itu rumit, namun selepas mencuba, ia jauh lebih mudah.
“Sekejap sahaja, tunjuk kad pengenalan, bayar jumlah minyak yang hendak dibeli, tidak sampai dua minit selesai dan sudah boleh menikmati subsidi. Alhamdulillah, sebagai rakyat Malaysia saya bersyukur kerana hak rakyat kini lebih terpelihara,” katanya.
Seorang buruh, Nik Mohd Zaidi Zaki, 40, pula mengaku agak kekok dengan sistem baharu, namun lega apabila dibantu pekerja stesen.
“Awalnya panik bila tengok meter tunjuk RM7.84 untuk isi motosikal yang biasanya RM6. Tapi pekerja jelaskan saya hanya perlu bayar RM6 kerana bakinya ditampung subsidi kerajaan,” ujarnya.
Peranan Pekerja Stesen Minyak
Pemilik stesen minyak di Labok, Ahmad Omar, 60, berkata antara isu paling kerap berlaku melibatkan pengguna dengan kad pengenalan rosak serta lesen memandu tamat tempoh.
“Pekerja kami perlu banyak memberi penerangan, termasuk mengingatkan supaya MyKad ditukar jika rosak dan lesen diperbaharui,” katanya.
Di Laloh, seorang pekerja stesen dikenali sebagai Nabila memberitahu, ada pengguna yang berpatah balik selepas sedar tidak membawa kad pengenalan.
“Malah ada juga yang tidak menghiraukan BUDI95 dan terus bayar pada harga biasa tanpa banyak soal. Namun secara keseluruhan sistem berjalan lancar,” katanya.
Sistem Stabil, Subsidi Tersalur Tepat
Sehingga kini, pelaksanaan BUDI95 dilihat stabil tanpa gangguan teknikal, dengan pekerja stesen minyak menjadi penghubung utama membantu rakyat memahami mekanisme subsidi bersasar ini.