Orang ramai mula berkongsi pengalaman serta maklumat mengenai kuota penggunaan petrol RON95 susulan pelaksanaan rasmi Budi Madani RON95 (BUDI95) di seluruh negara, hari ini.
Dengan mekanisme subsidi bersasar itu, pengguna akan menerima notifikasi mengenai jumlah liter digunakan serta baki kuota bulanan sejurus selesai mengisi minyak di stesen petrol.
Seorang pengguna Facebook, Ahmad Muliady Ab Majid, meluahkan rasa syukur apabila berjaya menikmati penjimatan ketara.
“Alhamdulillah, isi minyak Budi Madani RON95, bayar RM35 dapat petrol RON95 bernilai RM45.73. Subsidi dapat RM10.73. Sebagai golongan B40, hati saya gembira. Terima kasih PMX,” katanya.
Subsidi Kurangkan Beban
Seorang lagi pengguna, Hamidi Noorkasih, turut berterima kasih kerana layak menerima subsidi BUDI95 yang menjimatkan kos harian.
“Saya isi minyak RM40, tapi dapat 20.102 liter bernilai RM41.21. Subsidi RM1.21. Alhamdulillah, orang berbudi kita berbahasa,” katanya.
Manakala pengguna lain, Abang Jaapar, berkata pelaksanaan sistem BUDI95 berjalan lancar di stesen minyak yang dikunjunginya.
“Sistem laju, tapi skrin pam minyak tunjuk harga penuh RM2.60 seliter kalau guna kad kredit. Ingat macam tak dapat subsidi, tapi bila tengok resit baru nampak beza harga,” jelasnya.
Sistem Berfungsi Baik
Setakat hari pertama pelaksanaan, BUDI95 dilaporkan berfungsi dengan baik di kebanyakan stesen minyak. Mekanisme subsidi bersasar itu bukan sahaja memastikan bantuan dinikmati rakyat tempatan yang layak, malah turut mengelakkan ketirisan kepada warga asing dan pihak tidak bertanggungjawab.