Syed Saddiq Kini Ahli Parlimen Bergelar Ironman Dunia

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencipta sejarah peribadi apabila berjaya menamatkan cabaran Ironman World Championship, sekali gus melayakkannya bergelar peserta Ironman berkelas dunia.

Syed Saddiq dalam perkongsian di Facebook berkata, kejayaan itu masih terasa seperti sebuah mimpi namun menegaskan perjalanan Ironman beliau belum berakhir.

“Alhamdulillah, saya kini seorang yang berjaya menamatkan Kejuaraan Ironman Dunia 2025! Masih terasa seperti mimpi. Adakah ia pengakhiran perjalanan saya? Tidak.

“Saya lakukan ini untuk menjadi versi terbaik diri sendiri iaitu membina disiplin, menguatkan ketabahan serta daya juang selain menjadi cergas dari segi mental dan fizikal,” katanya pada Khamis.

Terdahulu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berjaya menamatkan kejohanan triatlon paling mencabar di dunia dengan catatan masa 13 jam 4 minit 36 saat dalam cabaran Kejuaraan Ironman Dunia 2025 di Nice, Perancis.

Syed Saddiq berada di kedudukan ke-1,705 daripada 2,337 peserta keseluruhan dan menduduki tempat ke-237 bagi kategori lelaki berusia 30 hingga 34 tahun.

Menurut beliau, impiannya adalah untuk terus mampu menyertai Ironman hingga usia mencecah 100 tahun.

“Insya-ALLAH, doakan,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular