Ringgit Makin Mengukuh, Muncul Sebagai Mata Wang Terbaik ASEAN

Ringgit mencatatkan pengukuhan sebanyak 5.8 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak awal tahun, sekali gus muncul sebagai antara mata wang paling kukuh di rantau ASEAN.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pencapaian itu dipacu oleh asas ekonomi negara yang semakin stabil hasil pelaksanaan reformasi struktur, pengurusan fiskal berdisiplin serta langkah rasionalisasi subsidi.

“Kadar pengangguran juga semakin baik, menurun kepada tiga peratus berbanding 3.3 peratus pada Mei 2024 – iaitu yang terendah dalam tempoh 10 tahun. Konsolidasi fiskal berjalan mantap, dengan defisit dijangka mengecil kepada 3.8 peratus tahun ini sambil mengurangkan beban hutang awam,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU di Hyatt Regency, pada Khamis.

Mengulas Belanjawan 2026, Amir Hamzah berkata, ia akan menjadi belanjawan ketiga di bawah kerangka Ekonomi Madani dan yang pertama selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Fokus utama, jelasnya, adalah kepada sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur mampan.

Katanya lagi, pendekatan dwi aspirasi Ekonomi Madani – menaikkan siling pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama meningkatkan taraf hidup rakyat – adalah strategi seimbang untuk memastikan pembangunan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

“Tahun ini sahaja, kerajaan telah menyalurkan RM13 bilion melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), memberi manfaat kepada sembilan juta individu dan isi rumah berpendapatan rendah. Ini bukti jelas bahawa kerajaan bukan sahaja fokus kepada pertumbuhan, tetapi juga kesejahteraan rakyat,” tegas beliau.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular