PRN Sabah: BN Terbuka Dengan Siapa Pun, Asalkan Bukan GRS – Zahid

Barisan Nasional (BN) menegaskan pendiriannya untuk terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti politik dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, namun tidak termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu telah dimuktamadkan selepas mengambil kira situasi politik semasa di negeri berkenaan.

“Kita sebut bahawa BN-PH (Pakatan Harapan) ‘plus’ ‘plus’ ‘plus’. Ertinya, kita bersedia bersama dengan mana-mana pihak yang bersetuju dengan prinsip parti kita.

“GRS kita sudah muktamadkan kerana mereka yakin mereka mampu menang banyak. Jadi mereka tidak memerlukan BN. Kita ucapkan selamat berjaya kepada mereka,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran IkonDesa, di Putrajaya semalam.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa BN dan UMNO Sabah tidak akan bekerjasama dengan GRS pada PRN17. Sebaliknya, gabungan itu difahamkan hanya akan menjalin kerjasama dengan PH dalam pilihan raya berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa keterbukaan BN untuk membentuk kerjasama dengan parti lain adalah bagi mengelakkan pertembungan di kawasan yang berpotensi besar untuk dimenangi.

“Matlamat kita jelas, iaitu memastikan setiap kerusi yang ditandingi memberi peluang terbaik untuk menang, tanpa pertindihan yang merugikan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular