Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan diadakan sebelum November ini berikutan tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka terbubar secara automatik pada bulan berkenaan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan selain mengadakan pilihan raya lebih awal bagi memastikan kelancaran pentadbiran berjalan lancar.
“Memang tidak lama lagi, sabarlah. Tunggu, kalau cuaca ini terang, kita bubarlah, bila cuaca baik nanti. Kita tiada pilihan sebab tempoh Dewan terbubar sendiri bulan November. Jadi, mesti kita adakan sebelum itu,” katanya.
Walaupun Jabatan Meteorologi meramalkan hujan berpanjangan pada bulan November, Hajiji menegaskan proses pilihan raya tetap akan diteruskan seperti dirancang.
“Itu jabatan kaji cuaca yang bilang, kita yang menentukan… tunggu saja, sokong kerajaan hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menutup Konvensyen Mahasiswa Sabah 2025 di Dewan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak agar terus menjaga keharmonian dan kestabilan politik negeri menjelang PRN yang bakal berlangsung.

