Polis Syor Tindakan Kepada Perempuan Terlibat Kes Rogol “Suka Sama Suka”

Polis mencadangkan penelitian semula terhadap peruntukan undang-undang sedia ada berhubung kes rogol membabitkan hubungan suka sama suka remaja bawah umur, yang ketika ini hanya mengenakan pertuduhan terhadap pelaku lelaki.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, walaupun kedua-dua pihak terbabit secara rela, namun hanya lelaki boleh didakwa di bawah undang-undang semasa.

Katanya, perkara itu dilihat tidak adil dan peruntukan undang-undang berkenaan perlu diteliti semula agar tindakan turut diambil terhadap perempuan yang terlibat dengan kes seumpama itu.

“Selepas ini kita mahu pihak berwajib mengambil tindakan juga terhadap perempuan sekiranya terbukti berlaku suka sama suka. Kenapa hanya lelaki sahaja yang dihukum, sedangkan kedua-duanya terlibat?

“Isu ini perlu dibawa kepada pihak berkaitan termasuk pejabat agama bagi melihat bentuk tindakan susulan kerana kebanyakan kes mempunyai pengakuan serta bukti jelas,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Mohd. Yusoff berkata, sebelum ini, kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak menunjukkan peningkatan ketara, dengan lebih 90 peratus melibatkan hubungan suka sama suka.

Katanya, undang-undang yang ada perlu diperhalusi semula supaya masyarakat lebih faham kesan kesalahan dan pada masa sama dapat membendung peningkatan kes. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Artikel Popular