”Peralatan Kita Bayaq, Depa Mai Bertanding Syok Saja” – Sanusi

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegur rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) agar bersama-sama membuat persiapan dalam bentuk kewangan untuk pilihan raya akan datang.

Pengerusi PN Kedah itu berkata, Pas sebelum ini banyak berkorban menyediakan kewangan dan peralatan ketika berkempen termasuk mengerahkan jentera memenangkan setiap calon PN.

Malah, Muhammad Sanusi seakan-akan menyatakan perasaan tidak puas hati dengan sikap mereka yang berkeinginan menjadi ketua, meskipun dalam keadaan tidak bersedia.

“Kita hadapi ‘rakan-rakan’ yang bergantung kepada peralatan yang kita bayar, di sini (Kedah) pun sama, tempat lain saya fikir sama juga satu unit peti undi (UPU) kita minta RM1,200 sebelum ini.

“Semua peralatan itu kita bayar, depa mai bertanding syok saja. Lepas itu nak jadi ketua. Duit tak ada, jentera tak ada kita semua (yang tanggung) jangan sampai kita ungkit kesemuanya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di sini, hari ini.

Menteri Besar Kedah itu tidak menyebut mana-mana pihak, namun PN kini ditunjangi tiga parti utama iaitu Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Muhammad Sanusi berkata, persiapan kewangan amat penting untuk menghadapi pilihan raya dan beliau berharap rakan-rakan komponen memahami situasi itu.

“Kita harap mereka turut berkorban macam mana kita berkorban daricbawah sampai ke atas. Rakan-rakan yang tak bayar duit, tak ada peralatan, gantunglah kain batik dan kain pelikat, (kos pilihan raya) mahal ceq oi bukan murah,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Artikel Popular