Penantian 5 Tahun Richard Chin Bakal Jadi Kenyataan

Penantian Richard Chin selama lima tahun untuk menyarung jersi Malaysia semakin hampir jadi kenyataan.

Sebelum ini, pemain pertahanan Raith Rovers itu terpaksa menanti dengan sabar untuk peluang beraksi bersama Harimau Malaya selama lima tahun.

Ini kerana Richard berdepan isu seperti kekurangan minit permainan dan masalah kecederaan serius pada Februari 2024.

Kecederaan itu turut menghalang dia daripada menyertai skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) yang beraksi dalam saingan Piala Asia B-23 2024.

Kini, peluangnya untuk menyarung jersi Harimau Malaya semakin menjadi kenyataan. Richard berharap itu menjadi permulaan untuk beliau terus beraksi bersama skuad negara.

“Harapan saya dalam lima tahun terakhir ialah bermain untuk skuad kebangsaan dan mewakili Malaysia. Harapnya, saya dapat mula lakukannya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Richard turut mendedahkan sebaik dia mendapat tahu dirinya terpilih menyertai skuad Peter Cklamovski, dia merasa dirinya menjadi seperti kanak-kanak semula.

“Ya, saya teruja. Bila saya dapat tahu saya terpilih sertai kem skuad kebangsaan, saya rasa diri saya macam kanak-kanak semula pada hari Krismas.

“Saya sangat teruja dan tak sabar bergabung dengan pemain-pemain lain serta mengenali mereka semalam dalam latihan. Saya tak sabar bermain bersama mereka ketika perlawanan,” ujarnya.

Richard berpeluang membuat penampilan pertama dalam salah satu daripada dua aksi antarabangsa. Malaysia akan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 4 September.

Ini disusuli aksi menentang pasukan Asia Barat, Palestin pada 8 September di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Sekiranya dia mendapat peluang tersebut, Richard menjadi pemain warisan negara terbaru beraksi buat Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular