Kehadiran pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya kini dilihat memberi impak positif bukan sahaja terhadap prestasi pasukan, malah dalam kedudukan ranking FIFA. Perkembangan itu turut diakui oleh jurulatih lawan yang menyaksikan perubahan besar skuad kebangsaan sejak awal tahun ini.
Malaysia memulakan revolusi baharu selepas melantik bekas jurulatih FC Tokyo, Peter Cklamovski, sebagai ketua jurulatih pada awal 2025. Seiring dengan itu, pasukan negara diperkuat dengan beberapa pemain warisan yang dibawa masuk untuk menghadapi cabaran di Kelayakan Piala Asia 2026 yang bermula pada Mac lalu.
Gabungan tenaga pemain tempatan bersama pemain warisan jelas menunjukkan hasil memberangsangkan. Harimau Malaya berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan kompetitif tahun 2025, dengan mencatat empat kemenangan dan satu keputusan seri.
Prestasi tersebut diterjemahkan dalam carta ranking FIFA, apabila Malaysia yang berada di tangga ke-132 dunia pada Disember tahun lalu, kini melonjak ke kedudukan ke-123 dunia, iaitu peningkatan sembilan anak tangga hanya dalam tempoh beberapa bulan.
Jurulatih Palestin, Ihab Abu Jazar, yang mengetuai pasukannya dalam aksi persahabatan menentang Malaysia baru-baru ini, turut mengakui potensi besar yang dimiliki skuad negara. Katanya, sekiranya revolusi Harimau Malaya dengan gabungan pemain warisan dimulakan lebih awal, Malaysia mungkin sudah berada jauh lebih baik dalam ranking dunia.
“Ranking bukan segala-galanya, tetapi kalau Malaysia memiliki pemain-pemain ini sejak dulu lagi, kedudukan mereka pasti lebih tinggi. Saya lihat kombinasi pemain warisan dan tempatan memberi keseimbangan yang sangat baik,” katanya selepas perlawanan tersebut.
Kejayaan menambah kedalaman skuad dengan pemain warisan dianggap sebagai langkah strategik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam usaha memastikan pasukan kebangsaan lebih berdaya saing di pentas antarabangsa. Dengan momentum yang semakin meningkat, Harimau Malaya kini dilihat berada di landasan tepat untuk mengekalkan prestasi konsisten menjelang baki aksi kelayakan utama.
Peningkatan ranking ini sekali gus memberi harapan baharu buat peminat bola sepak tanah air bahawa skuad negara mampu keluar daripada kelompok bawahan dunia, sambil membina reputasi sebagai pasukan yang semakin digeruni di rantau Asia.