PAS Pernah Runding Dengan Anwar dan Zahid Tanpa Pengetahuan Bersatu – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, mendakwa PAS beberapa kali beralih arah demi kelangsungan politiknya sehingga dianggap sanggup “menikam belakang” rakan dalam gabungan politik. Menurutnya, fakta sejarah menunjukkan PAS pernah bersama hampir semua parti utama dalam negara, dan keputusan yang diambil lebih mementingkan percaturan politik berbanding dasar serta polisi negara.

Asyraf berkata demikian dalam podcast Lebih Masa yang dikendalikan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, dan pengacara Nani Roslan, yang disiarkan pada Khamis.

“Kalau tengok PAS, dia fokus kepada politik. UMNO pula fikir soal polisi dan dasar kerajaan. Sebab itu bila kita kalah (PRU14), baru kita sedar banyak benda tidak dibuat, dan itu yang kita wariskan perjuangan hari ini. Nik Nazmi pernah bersama PAS, Keadilan pernah bersama PAS, UMNO pun pernah bersama PAS. Tetapi PAS mana pernah kekal dengan rakan-rakan,” katanya.

Beliau turut mendakwa, PAS beberapa kali menghantar wakil untuk berunding secara senyap dengan pemimpin kerajaan, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tanpa pengetahuan rakan utamanya dalam Perikatan Nasional (PN), iaitu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Anwar sendiri beritahu kita, PAS menghantar wakil berjumpa dengan beliau. Begitu juga dengan Zahid Hamidi. Semua itu berlaku tanpa pengetahuan Bersatu. Malah, orang yang berjumpa itu adalah individu sama yang pernah membawa perkara itu kepada kita,” dakwanya.

Mengimbas kembali Langkah Sheraton pada 2020, Asyraf berkata UMNO dan PAS dalam mesyuarat Muafakat Nasional ketika itu bersetuju untuk membentuk kerajaan sementara bersama Muhyiddin hanya untuk tempoh enam bulan.

“Ketika itu UMNO mahu Parlimen dibubarkan supaya pilihan raya dapat diadakan segera. Malah Najib tegas menyatakan tiada kerajaan yang boleh bertahan jika dibentuk melalui pintu belakang. Tetapi apabila COVID-19 melanda dan Yang di-Pertuan Agong menitahkan kompromi, akhirnya PAS mencadangkan supaya kerajaan sementara dibentuk dahulu sebelum dibubarkan. UMNO akhirnya akur demi kestabilan,” katanya.

Namun, menurut Asyraf, rancangan enam bulan itu tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, Muhyiddin mencadangkan semua parti dalam kerajaan menubuhkan Perikatan Nasional secara rasmi, tetapi cadangan itu ditolak UMNO.

Beliau menambah, PAS ketika itu berulang kali menafikan penyertaan dalam PN apabila ditanya dalam siri mesyuarat Muafakat Nasional. Namun, selepas Pilihan Raya Negeri Sabah, PAS membuat pengisytiharan rasmi menyertai PN kerana Muhyiddin ketika itu adalah Perdana Menteri.

“Kita tanya PAS, betul atau tidak? Jawapan mereka ketika itu jelas – kononnya tak akan sesekali libatkan diri dengan PN, apatah lagi sebagai jawatankuasa penaja. Semua itu diminitkan. Tetapi selepas PRN Sabah, PAS umum sertai PN. Itu tikaman belakang,” katanya lagi.

Asyraf menegaskan, berbeza dengan PAS, UMNO konsisten tidak pernah mengkhianati rakan politik sepanjang sejarahnya. “Bila kita berkawan, kita tak pernah tinggalkan kawan. Yang tinggalkan orang lain, bukan kita,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, Presiden UMNO sendiri mengakui ada wakil PAS datang untuk berunding baru-baru ini, tetapi ditolak kerana UMNO lebih mementingkan kestabilan negara dan rakyat.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular