Inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, semalam mendedahkan wujud unsur buli di Asrama Qurratu ‘Ayun, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar.
Asrama itu menempatkan dua blok kediaman pelajar perempuan iaitu Blok A, Rabiatul Adawiyah – lokasi kediaman Zara Qairina dan tempat mangsa ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu – serta Blok B, Sumayyah.
Peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili salah seorang remaja terbabit, Pelajar A, berkata saksi kanak-kanak kedua inkues mengesahkan terdapat dakwaan buli, namun tidak melibatkan anak guamnya.
“Terdapat dakwaan mengenai buli, salah faham dan kecurian berlaku, tetapi setakat ini keterangan yang diberikan adalah jelas dan tidak membabitkan Pelajar A,” katanya kepada media ketika prosiding berhenti rehat tengah hari semalam.
Seorang lagi peguam, Joan Goh, turut menjelaskan bahawa kejadian bermula daripada tuduhan kecurian di asrama.
“Kesemuanya berpunca daripada dakwaan mencuri yang berlaku beberapa kali sebelum kejadian. Pada hari kejadian, penghuni cuba mencari punca kehilangan barang,” katanya sambil menambah bahawa Pelajar A ketika itu berada di bilik dobi membasuh pakaian.
Berdasarkan keterangan ketua warden, Azhari Abd. Sagap, lima pelajar mengaku menjalankan soal siasat terhadap Zara Qairina sehari sebelum mangsa ditemui tidak sedarkan diri di aras bawah blok asrama. Zara yang tinggal di bilik A3-5 dipanggil ke bilik A3-6 untuk disoal siasat, sebelum kembali ke biliknya dalam keadaan menangis sambil menjerit: “Aku tak curi bah, bodoh!”
Mangsa kemudian dilihat menuju ke tandas, lokasi terakhir dia dilihat sebelum ditemukan terlentang dan tidak sedarkan diri. Saksi sama turut mendedahkan Zara ditahan serta dikepung di satu sudut dorm beberapa jam sebelum kejadian.
Dalam prosiding itu, peguam Rizwandean M. Borhan dan Shahlan Jufri memberitahu, saksi kanak-kanak berkenaan turut mengesahkan bahawa beberapa pelajar mentertawakan Zara selepas mengetahui hasratnya untuk menyertai Badan Dakwah dan Kerohanian (Badar).
“Saksi telah memberikan keterangan terperinci dan jelas mengenai apa yang berlaku malam kejadian pada 15 Julai lalu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding hari ke-13 berakhir.