Malaysia Muncul Negara Kedua Terbaik Di ASEAN Bagi Indeks Negara Digital 2025

Malaysia muncul sebagai negara kedua terbaik di ASEAN dalam Indeks Negara Digital GSMA 2025 yang julung kali diperkenalkan, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju serantau dalam bidang digital.

Singapura berada di kedudukan teratas, manakala Malaysia bersama Filipina dan Thailand dinilai sebagai negara yang mencapai tahap kematangan digital lebih tinggi dengan skor agregat melebihi 60 daripada 100.

Laporan bertajuk “Achieving the ASEAN Connectivity Strategic Plan” itu mengukur kesiapsiagaan digital negara anggota ASEAN melalui lima komponen utama iaitu infrastruktur, inovasi, tadbir urus data, keselamatan dan manusia.

Pencapaian Malaysia

Malaysia mencatat keputusan cemerlang dalam komponen Manusia dengan skor antara 76 hingga 100, menggambarkan usaha berterusan kerajaan memperluas capaian digital serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan.

Namun, dalam aspek InfrastrukturInovasi dan Keselamatan, Malaysia hanya memperoleh markah sederhana dalam julat 25 hingga 49, menunjukkan masih ada ruang besar untuk diperkasakan.

Inisiatif Digital Negara

Beberapa langkah penting negara turut diiktiraf GSMA, antaranya pelancaran Rangka Kerja Negara AI pada Ogos 2025, yang menjadi strategi nasional bagi memastikan manfaat kecerdasan buatan (AI) dapat dinikmati seluruh masyarakat.

Selain itu, Malaysia turut mencatat sejarah apabila memperkenalkan Ryt Bank, bank pertama yang dikuasakan sepenuhnya oleh AI. Perkhidmatan itu menggunakan model bahasa besar tempatan, ILMU, yang menyokong perbualan dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Manglish, menjadikannya lebih mesra pengguna.

Di sektor infrastruktur digital, pelaburan juga menunjukkan perkembangan pesat. Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melaporkan pelaburan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM29.47 bilion (AS$7 bilion) pada suku kedua 2025, kebanyakannya dalam sektor pusat data dan pengkomputeran awan.

Aspek Perundangan dan Keselamatan

Malaysia turut menekankan aspek kawal selia dengan penggubalan beberapa undang-undang baharu. Antaranya ialah Akta Keselamatan Siber 2024 serta garis panduan mengenai Pemindahan Data Peribadi Merentas Sempadan yang diumumkan pada April 2025. Langkah ini dianggap penting untuk memperkukuh keselamatan siber dan melindungi data rakyat.

Seruan GSMA

Dalam laporan itu, GSMA menegaskan bahawa usaha merealisasikan pelan pembangunan digital ASEAN hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat serantau. Negara anggota disaran mempercepat penyelarasan dasar, menutup jurang infrastruktur dan memanfaatkan perkongsian teknologi bagi memastikan pertumbuhan digital yang inklusif.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular