Negara akan menganjurkan acara Kecerdasan Buatan (AI) antarabangsa yang menghimpunkan universiti dan pelajar tempatan bagi menonjolkan kehebatan akademia dalam bidang AI.
Bagi merealisasikan impian itu, Kementerian Digital akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung penganjuran acara berkenaan yang dijangka berlangsung pada suku pertama tahun depan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, acara itu akan menampilkan Malaysia bukan sahaja sebagai negara yang membangunkan ekosistem digital daripada segi infrastruktur, malah memiliki kelebihan dalam pendidikan, penyelidikan dan bakat generasi muda.
“Kita boleh ada infrastruktur terbaik, tetapi tanpa keyakinan masyarakat dan minda inovatif, ia tidak bermakna.
“Teknologi perlu dibangunkan dengan garis panduan yang menjamin keselamatan, kepercayaan dan penerimaan rakyat.
“Melalui acara ini, kita mahu bawa rakan global untuk melihat bahawa Malaysia bukan sahaja fokus kepada infrastruktur, tetapi juga menonjolkan keunggulan akademia dan bakat pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan ‘Great Malaysia AI Hackathon 2025’ yang menerima pengiktirafan rekod ASEAN di Asia Pacific University (APU), sebentar tadi.
Acara itu dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan disokong Amazon Web Services (AWS), mencatat rekod ASEAN sebagai hackathon AI terbesar membabitkan penyertaan 1,741 individu terdiri daripada 1,547 pelajar universiti dan 194 profesional industri.
Gobind berkata, penganjuran berkenaan seiring aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan Malaysia sebagai negara AI menjelang 2030 seperti diumumkan ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Mengulas isu kebocoran bakat apabila ramai graduan AI tempatan direkrut syarikat antarabangsa, beliau menegaskan kerajaan komited menyediakan ekosistem yang kondusif termasuk peluang pekerjaan, akses teknologi, perlindungan data serta ruang inovasi agar tenaga mahir memilih untuk terus menyumbang di Malaysia.
“Antara Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, sebanyak 368 syarikat memperoleh status Malaysia Digital dengan nilai pelaburan RM44.6 bilion.
“Ini membuktikan keyakinan syarikat antarabangsa untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.