Lubnan lucut senjata Hezbollah 3 bulan lagi

BEIRUT – Tentera Lubnan akan melucutkan sepenuhnya semua senjata kumpulan Hezbollah yang berada berhampiran sempadan Israel dalam tempoh tiga bulan, kata Menteri Luar, Youssef Raggi kepada AFP semalam.

Pada Ogos lalu, kerajaan Lubnan mengarahkan angkatan tentera menyediakan rancangan untuk melucutkan senjata kumpulan yang pernah menjadi dominan itu menjelang akhir tahun ini.

Tindakan itu dilakukan selepas menerima tekanan daripada Amerika Syarikat (AS) dan serangan Israel.

Youssef berkata, ketua tentera, Rodolphe Haykal telah mengemukakan rancangan lima peringkat kepada kerajaan minggu lalu bagi memastikan semua senjata berada di bawah kawalan negara.

Peringkat pertama dijangka mengambil masa tiga bulan di mana pelucutan senjata akan diselesaikan di selatan Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari Israel, menjelang akhir November depan.

“Tidak akan ada gudang, tidak ada senjata, tidak ada pemindahan senjata, tiada pejuang dan tiada pameran senjata di kawasan itu,” kata Youssef ketika menerangkan rancangan tentera.

Tambahnya, empat fasa berikutnya akan menyaksikan pelucutan senjata di wilayah lain, termasuk Beirut dan Lembah Bekaa di timur, tetapi beliau tidak menetapkan garis masa.

Hezbollah telah dilemahkan akibat konflik selama setahun dengan Israel, termasuk dua bulan perang terbuka yang memusnahkan sebahagian besar senjatanya dan menewaskan kepimpinannya.

Beirut menyifatkan usaha pelucutan senjata yang ditentang oleh Hezbollah itu sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang mengakhiri perang pada November tahun lalu. – AFP

The post Lubnan lucut senjata Hezbollah 3 bulan lagi appeared first on Kosmo Digital.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular