Lesen Memandu Tamat Tempoh Lebih Tiga Tahun Tidak Layak Terima BUDI95

Rakyat Malaysia yang memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) tetapi telah tamat tempoh lebih tiga tahun tidak lagi layak menerima subsidi bahan api di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menjelaskan bahawa individu dalam kategori berkenaan tidak akan mendapat subsidi secara automatik kerana lesen memandu mereka dianggap tidak sah dan telah disekat dalam sistem Kementerian Kewangan (MoF).

Menurut beliau, penebusan BUDI95 kini diintegrasikan terus dengan sistem MoF, sekali gus pengguna tidak perlu menunjukkan lesen ketika mengisi petrol.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak membiarkan lesen memandu mereka tamat lebih tiga tahun jika mahu terus menikmati subsidi bahan api ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terdapat kira-kira 2.4 juta pemegang lesen berada dalam status tidak aktif kerana lesen mereka telah tamat tempoh lebih tiga tahun.

Anthony Loke turut menegaskan bahawa mereka yang lesennya tamat kurang daripada tiga tahun masih boleh mengaktifkan semula dengan menduduki Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03). Dalam tempoh itu, mereka masih layak menikmati subsidi.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan golongan tersebut supaya segera memperbaharui lesen sebelum mencecah tempoh tiga tahun.

“Setakat ini, terdapat 925,421 individu tidak memperbaharui lesen yang telah tamat antara satu hingga tiga tahun,” katanya.

Beliau memaklumkan, sejak pengumuman mengenai BUDI95 dibuat, JPJ telah merekodkan 26,991 transaksi pembaharuan lesen melalui pelbagai saluran seperti aplikasi MyJPJ, mySikap, kiosk serta kaunter JPJ di seluruh negara.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan subsidi RON95 akan dilaksanakan pada harga RM1.99 seliter bagi rakyat tempatan, berbanding RM2.05 sebelum ini. Langkah itu berkuat kuasa 30 September ini dan terpakai tanpa mengira tahap pendapatan.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular