Lantik Fahmi Fadzil Jadi Menteri Wilayah – UMNO Batu

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim mencadangkan supaya Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu.

Gulam Muszaffar yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu berkata, lantikan itu boleh dibuat dalam rombakan Kabinet yang dijangka berlaku hujung tahun ini.

Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan portfolio tersebut disandang anak jati Wilayah Persekutuan.

“Saya ingin cadangkan Fahmi menjadi Menteri Wilayah Persekutuan atau naikkan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin sebagai senator (sebelum dilantik sebagai menteri) kerana beliau juga anak jati Wilayah Persekutuan.

“Setuju tak kawan?” katanya dalam satu kenyataan yang turut membidas Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Nor Azrina Surip yang menafikan UMNO Bahagian Batu dilayan seperti ‘anak pungut’.

Nor Azrina sebelum ini menegaskan pelaksanaan dasar dan program kerajaan di Wilayah Persekutuan turut melibatkan UMNO, meskipun tidak dizahirkan dalam bentuk program politik kepartian.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan UMNO Bahagian Batu mengambil keputusan memutuskan hubungan politik dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Parlimen Batu dan Wilayah Persekutuan susulan isu pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

Gulam Muszaffar berkata, langkah itu dibuat bagi mempertahankan hak seperti termaktub dalam pekeliling rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa masalah di Wilayah Persekutuan timbul kerana pemimpin yang menerajui kementerian bukan berasal dari wilayah itu, sebaliknya Nor Azrina dari Kedah dan Dr Zaliha dari Johor.

Beliau turut menyindir Nor Azrina kerana tersalah menyebut namanya dalam kenyataan terdahulu.

“Saya ingin nyatakan nama saya disebut salah. Sejak bila ayah dan ibu saya memberi nama Muszaffar ‘Shah’? Ini menunjukkan kualiti Setiausaha Politik Menteri.

“Hentam kromo saja dan ini bukti beliau sendiri tidak pernah ambil peduli tentang UMNO apabila nama pemimpin pun salah disebut,” katanya.

Beliau juga menepis dakwaan Nor Azrina bahawa perjuangannya bersifat individu.

Menurutnya, rekod aktiviti UMNO Bahagian Batu yang menyantuni masyarakat boleh dilihat menerusi akaun Facebook beliau atas nama Gulam Muszaffar dan TikTok Guzzu16.

Kata Gulam Muszaffar, beliau telah menjadi Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa PKNS Jalan Kuching sejak berusia 23 tahun hingga kini.

“Kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan UMNO Bahagian Batu jauh lebih baik berbanding Ahli Parlimen PH atau mana-mana pemimpin PKR di Wilayah Persekutuan.

“Malah Ahli MPP Batu sesi 2024/2025 penuh masalah dan mendapat aduan kerana tidak menyantuni masyarakat setempat,” dakwanya.

Beliau turut mendakwa Nor Azrina mungkin tersinggung selepas tawaran balas (counter offer) melalui Setiausaha Politik Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani iaitu Datuk Rizalman Mokhtar, ditolak UMNO Batu selepas keputusan memutuskan kerjasama politik dengan PH Batu dan Wilayah Persekutuan dibuat.

“Saya menolak jawatan MPP Wilayah Persekutuan selepas beliau dan menterinya mengakui kesilapan berhubung kuota MPP Batu. Insya-ALLAH, UMNO Batu masih boleh berdikari tanpa kerjasama menteri, dan selama ini pun kami bergerak sendiri.

“Bukan nak mengungkit, tetapi pada pemilihan PKR Cabang Batu lepas, UMNO Batu memberi kemudahan dewan dan logistik secara percuma untuk majlis pengenalan calon PKR Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi.

“Kami juga menjemput kepimpinan PKR Cabang Batu yang baharu ke Persidangan UMNO Bahagian Batu. Inilah cara UMNO Batu berkawan, ikhlas dan jujur,” katanya.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular