Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggesa semua kenderaan syarikat pengangkutan darat awam dan barangan membuat permohonan pendaftaran menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) di pautan mysubsidi.kpdn.gov.my bermula jam 10 pagi Isnin ini.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah ini penting bagi memastikan sektor pengangkutan berkenaan mendapat manfaat subsidi petrol RON95, di samping membolehkan kementerian mengawal selia mekanisme penyaluran subsidi dengan lebih berkesan.
Sebanyak sembilan kategori kenderaan pengangkutan awam layak membuat permohonan iaitu teksi, kereta sewa, bas sekolah, van mayat, ambulans, bomba, bas pengantara, bas berhenti-henti dan bas mini. Bagi sektor pengangkutan darat barangan pula, 12 kategori kenderaan dibenarkan termasuk van panel, van window, van semi panel, lori katering makanan, van katering makanan, lori rigid (kargo am), lori rigid (luton/kotak), lori rigid (sejuk beku), lori rigid (perkhidmatan bergerak), van rigid (perkhidmatan bergerak), lori rigid (kandang haiwan) serta lori rigid (hasil pertanian).
Menurut Armizan, syarat kelayakan SKPS adalah syarikat mestilah berdaftar di Malaysia, kenderaan dimiliki syarikat pemohon, memiliki cukai jalan sah, serta tersenarai dalam kategori layak di bawah sistem ini.
Beliau menjelaskan, pembelian petrol bersubsidi RON95 akan dilaksanakan menggunakan kaedah Fleet Card, sama seperti pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang terbukti berkesan sebelum ini. Kaedah ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan kawal selia, malah mengurangkan risiko ketirisan dan penyeludupan bahan api.
Syarikat pengangkutan yang berjaya mendaftar perlu segera memohon Fleet Card daripada tiga syarikat minyak terpilih dengan mengemukakan dokumen Surat Kelulusan dan Senarai Kenderaan yang dicetak daripada sistem. KPDN menasihatkan syarikat supaya tidak bertangguh kerana subsidi hanya dapat dimanfaatkan sebaik sahaja tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 diumumkan kelak.
“Semasa SKDS, jumlah kenderaan terlibat di Semenanjung lebih 300,000, manakala bagi SKPS dijangka lebih 100,000 kenderaan. Apa yang paling penting ialah syarikat jangan bertangguh dan buat permohonan segera,” tegas Armizan.
Beliau turut menggalakkan syarikat minyak membangunkan kad digital melalui aplikasi masing-masing sebagai alternatif tambahan bagi membolehkan sektor pengangkutan menikmati subsidi dengan lebih mudah.
Sementara itu, Armizan memaklumkan bahawa mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 untuk kenderaan persendirian individu akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada penghujung September ini.