”Kalau YB Malu Nak Minta Maaf, Jumpa Menteri” – Dr Akmal Bidas Ka Siong

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong digesa memohon maaf kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) susulan kenyataannya berhubung isu kemasukan seorang pelajar cemerlang ke universiti awam.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan Ka Siong menyalahkan sistem yang sudah rosak dianggap satu tuduhan yang tidak patut dan mencemarkan nama baik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Bila baca kenyataan awal daripada YB (Yang Berhormat Wee Ka Siong) saya pun terasa kasihan kenapa adik yang dapat keputusan yang baik ini tidak dapat tawaran belajar seperti yang diidamkan.

“Tetapi akhirnya cerita yang sebenar adalah adik ini bukan tidak pandai, memang dia pandai tetapi ada lebih ramai yang sangat pandai dan layak berbanding adik ini,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Beliau berkata, pelajar berkenaan mendapat merit 99.9 peratus tetapi hakikatnya ada lebih ramai pelajar Malaysia yang dapat merit 100 peratus dan tempat adalah terhad di Universiti Malaya.

“Apabila YB menyalahkan sistem yang sudah rosak, saya menganggap itu adalah satu tuduhan yang tidak patut dan mencemarkan nama baik KPT. 

“Kita mendesak supaya YB dapat menyatakan permohonan maaf kepada KPT yang saya berasakan penjawat awam mereka sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sangat baik tanpa ada rasa prejudis kepada mana-mana golongan dan itulah yang diterapkan kepada penjawat awam kita.

“Kalau malu nak minta maaf secara terbuka, YB jumpalah Menteri Pendidikan Tinggi dan minta maaf ya,” katanya.

Semalam, menerusi satu sidang media Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam mendakwa seorang pelajar cemerlang tidak menerima tawaran ke program pengajian perakaunan di UM walaupun memperoleh keputusan yang baik.

Bagaimanapun, penjelasan lanjut daripada KPT mendapati calon itu sebenarnya memiliki merit 99.9 peratus, namun persaingan sengit berlaku apabila terdapat lebih ramai pelajar memperoleh merit 100 peratus sedangkan kapasiti tempat adalah terhad.

Calon itu berada di kedudukan 1,129 dan UM hanya menyediakan 85 tempat untuk diisi.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular