Pengendali Raith Rovers, Barry Robson memuji kualiti yang dimiliki pemain pertahanan Malaysia, Richard Chin.
Hal ini dinyatakan legenda Dundee United itu apabila ditanya tentang kelebihan yang dimiliki graduan akademi Charlton Athletic itu.
Meskipun Richard kerap diturunkan sebagai pemain gantian, pemain berusia 22 tahun itu dilihat mampu memberi ancaman kepada pihak lawan.
Robson percaya sekiranya Richard terus menunjukkan peningkatan, tidak mustahil dia mampu menjadi aset berharga kelab divisyen dua Scotland itu.
“Tingkah lakunya sebagai pemain (sangat baik), semua pemain sukakan dia. Semua penyokong sukakan dia, dia sangat bekerja keras. Dia melihat semua perkara yang dia perlu lakukan.
“Dia bekerja keras dan terus menunjukkan peningkatan. Dia cukup merbahaya buat kita apabila masuk sebagai pemain gantian. Untuk baki 10 hingga 25 minit, beliau kelihatan merbahaya. Kita masih cuba membina ketahanan dia, ada beberapa perkara kita cuba tambah baik.
“Saya berharap dia dapat menjadi pemain yang bagus untuk kita. Kredit kepada dia kerana mendapat panggilan tugasan antarabangsa (bersama Harimau Malaya),” katanya.
Richard sudah mula menjalani latihan ringan bersama skuad kebangsaan selepas tiba dari Scotland. Turut sama menjalani latihan ringan bersamanya ialah Dion Cools dan Facundo Garces.
Wartawan Astro Arena, Fina Nasrom memaklumkan ketiga-tiga pemain itu tetap menjalani latihan di tepi padang walaupun baru tiba di Malaysia.