Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menasihati pemimpin politik supaya tidak terlalu ghairah berebut untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.
Menurut beliau, hakikatnya seseorang calon tidak akan mampu menjadi Perdana Menteri sekiranya parti yang diwakili gagal meraih majoriti minimum 112 kerusi di Dewan Rakyat.
“Calon tidak akan jadi Perdana Menteri jika partinya tidak menang 112 kerusi. Untuk menang 112 kerusi, partinya perlu meletakkan lebih daripada 112 calon. Parti lain pula akan meletakkan calon untuk menentang partinya,” jelasnya.
Tun Dr Mahathir turut menekankan bahawa dalam realiti politik negara, hampir mustahil untuk satu parti sahaja mencapai angka tersebut tanpa gabungan. Justeru, beliau mengingatkan bahawa perebutan jawatan Perdana Menteri hanya sia-sia sekiranya parti berkenaan tidak mempunyai kekuatan sebenar di Parlimen.

