Walaupun Mahkamah Tinggi telah memerintahkan bayaran ganti rugi sejak Julai lalu, pelakon dan pempengaruh media sosial Rafidah Ibrahim masih belum melunaskan jumlah RM281,200 yang ditetapkan.
Firma guaman Izral Partnership yang mewakili plaintif memaklumkan, anak guam mereka kini hanya memberi tempoh tujuh hari kepada Rafidah untuk menjelaskan bayaran tersebut selepas beberapa notis terdahulu tidak menerima sebarang maklum balas.
“Sekiranya masih gagal, tindakan lanjut akan diambil tanpa kompromi,” tegas firma guaman itu dalam kenyataan.
Keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Julai 2024 mewajibkan Rafidah membayar RM100,000 kepada Datuk Haris Embong, RM150,000 kepada syarikat Arisprop Holdings Sdn Bhd, selain kos guaman RM30,000 dan yuran RM1,200.
Hakim ketika itu menegaskan, hantaran yang dimuat naik Rafidah di Facebook bersifat fitnah kerana mencemarkan nama plaintif.
Sehingga kini, Rafidah masih belum memberikan sebarang kenyataan balas berhubung arahan mahkamah tersebut.