KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Sabah supaya lebih teliti dalam memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, dengan menegaskan hanya calon yang bersih dan berwibawa mampu membawa negeri itu ke arah pembangunan.
Beliau menekankan bahawa mana-mana pemimpin yang mahu diberi mandat tidak boleh terbabit dengan salah guna kuasa atau mengkhianati amanah rakyat. Menurutnya, asas utama membina masa depan yang lebih baik untuk Sabah adalah kepimpinan yang memiliki integriti serta keupayaan bekerja bersama Kerajaan Persekutuan.
“Kita mesti pastikan pemimpin yang dipilih itu benar-benar bersih, berwibawa dan tidak mengkhianati amanah. Integriti adalah syarat paling penting untuk membawa Sabah ke tahap pembangunan yang lebih baik,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa kejayaan sesebuah kerajaan bergantung sepenuhnya kepada kualiti kepimpinan. Beliau memberi contoh projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) yang pernah tertangguh akibat kelemahan tadbir urus, sambil mengingatkan perkara sebegitu tidak boleh berulang jika Malaysia mahu muncul sebagai ekonomi paling berjaya di Asia Tenggara.
“Kita belajar daripada pengalaman Pan Borneo. Kalau tadbir urus lemah, rakyat yang rugi. Sebab itu kita tekankan kepimpinan yang amanah dan berkesan,” katanya.

