Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan hampir dua juta pengguna jalan raya berisiko disenaraihitamkan kerana masih gagal menjelaskan saman tertunggak pelbagai kesalahan lalu lintas.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata saman terbabit merangkumi kesalahan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), Notis Temu Siasat (114), serta Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
Menurut beliau, tindakan tegas akan dikenakan termasuk kenaikan kadar kompaun kepada RM300 dan pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) sekiranya pesalah gagal melunaskan saman.
Tawaran Kompaun Khas
“Justeru, mereka yang mempunyai saman tertunggak seharusnya mengambil peluang melunaskannya menerusi tawaran kompaun khas dengan kadar rata RM150 untuk tiga kesalahan tersebut. Tawaran ini bermula Januari lalu dan akan berakhir Disember ini,” katanya pada sidang media, semalam.
Muhammad Kifli berkata, berdasarkan statistik Januari hingga kini, terdapat lebih 1.45 juta saman AWAS, diikuti 296,684 notis 114 dan 164,598 notis 115.
Saman Lebih 15 Tahun Masih Tertunggak
Beliau mendedahkan, ada saman yang dikesan berusia lebih 15 tahun masih belum dijelaskan oleh pengguna jalan raya.
“JPJ masih membuka ruang untuk mereka menyelesaikan bayaran bagi mengelak disenaraihitamkan, namun tindakan tegas tetap akan dikenakan sekiranya gagal berbuat demikian,” katanya.