Kuala Lumpur: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau tidak akan menjadi calon Perdana Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurut Abdul Hadi, faktor usia lanjut tidak lagi sesuai untuk memikul tanggungjawab sebesar itu, sebaliknya beliau hanya melihat dirinya lebih sesuai berperanan sebagai penasihat kepada barisan kepimpinan parti dan gabungan.
“Umur saya sudah 78 tahun, jadi untuk jadi Perdana Menteri tak layak. Jadi penasihat bolehlah. Biar orang muda dan kuat tubuh yang pimpin,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau menegaskan, buat masa ini PAS memberi tumpuan penuh untuk memastikan kemenangan PN dalam PRU16, manakala soal calon Perdana Menteri hanya akan ditentukan kemudian secara dalaman bersama parti gabungan.
Abdul Hadi turut menekankan garis panduan memilih pemimpin seperti terkandung dalam al-Quran, iaitu seseorang yang mesti berilmu, berintegriti serta memiliki kesihatan yang baik.
Kenyataan itu sekali gus mengesahkan spekulasi bahawa Abdul Hadi tidak lagi berhasrat untuk memegang jawatan tertinggi negara, sebaliknya memberi laluan kepada kepimpinan muda dalam PN untuk tampil sebagai calon utama Perdana Menteri.

