Golongan muda diingatkan agar tidak memandang ringan gurauan keterlaluan sesama rakan kerana ia boleh dianggap sebagai perbuatan buli yang boleh memberi kesan buruk terhadap masa depan pelajar.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, meskipun insiden di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang tular baru-baru ini telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut selepas mangsa serta keluarga enggan meneruskan laporan, pihak polis tetap memandang serius perkara itu.
“Pelajar hadir ke sekolah atau institut pengajian untuk belajar, bukan untuk buli. Kalau nak main-main pun, jangan sampai orang luar melihat ia serius. Walaupun nampak seperti gurauan kasar, ia tetap satu bentuk buli,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, pada Khamis.
Beliau memaklumkan, kertas siasatan telah dibuka dan semua pihak termasuk mangsa, ibu bapa serta rakan-rakan terlibat telah dipanggil memberi keterangan. Mangsa turut menjalani pemeriksaan perubatan yang mengesahkan tiada kecederaan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak merakam serta menyebarkan video insiden sedemikian kerana ia hanya menggalakkan budaya negatif dalam kalangan pelajar.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC Lim San Aik berkata, walaupun mangsa dan bapanya memilih untuk tidak meneruskan kes, hasil siasatan tetap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah dilaporkan berkata, pelajar lelaki berusia 19 tahun berkenaan menafikan dibuli, sebaliknya menjelaskan insiden yang tular hanyalah gurauan rakan sempena sambutan hari lahir pada 19 September lalu.