Serangan bekas pemimpin kanan PAS, Dr Mohd Zuhdi yang menuding jari kepada hubungan Zahid Hamidi–Anwar Ibrahim sebagai punca keretakan Muafakat Nasional (MN) jelas satu putar belit sejarah. Realitinya, UMNO kekal konsisten mempertahankan piagam MN kerana yakin kerjasama UMNO–PAS mampu mencapai majoriti dua pertiga Parlimen. Sebaliknya, PAS yang mengkhianati semangat penyatuan apabila lebih selesa bersama Bersatu demi jawatan dan dana politik.
Sejarah tidak boleh dipadam. Selepas PRU14, UMNO ditekan untuk bubar dan sertai Bersatu, namun Zahid menolak. UMNO kekal berdiri sendiri dan bersama PAS membina MN pada 2019, ketika rakyat bangkit menolak kegagalan kerajaan PH dalam isu ICERD dan Statut Rom. MN lahir sebagai simbol penyatuan Melayu-Islam.
Namun selepas Langkah Sheraton 2020, PAS mula mengubah haluan. Bersatu yang pernah menikam UMNO, tiba-tiba diangkat PAS sebagai rakan perjuangan. UMNO menolak kerana sedar pengkhianatan lalu. Dari sinilah, piagam MN mula dipinggirkan.
Lebih parah, PAS bersama Bersatu menyusun strategi politik yang jelas mensabotaj UMNO. Dalam PRN Sabah 2020, janji tiada pertembungan kerusi dimungkiri; calon ketiga dihantar untuk pecah undi UMNO. Propaganda ‘kluster mahkamah’ dicipta bagi melemahkan kepimpinan UMNO, sedangkan rakyat tidak pernah menuntut retorik sebegitu. Malah, darurat COVID-19 digunakan untuk mengikat UMNO, sementara ada ahli UMNO didaftarkan sebagai ahli Bersatu tanpa rela.
Jawapan rakyat jelas. Dalam PRN Melaka dan Johor, UMNO menolak gabungan dengan PAS–Bersatu dan memilih bertanding solo. Hasilnya, kemenangan besar berpihak kepada UMNO. Fakta ini menafikan dakwaan kononnya UMNO gagal tanpa PAS. Hakikatnya, rakyat lebih yakin kepada UMNO yang berprinsip.
Dalam PRU15, apabila Parlimen tergantung, UMNO menunjukkan kebijaksanaan menerima cadangan YDPA menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan 10 syarat bertulis melibatkan Islam, Melayu, Raja-Raja, bahasa, ekonomi adil dan hak Sabah-Sarawak. Semua syarat ini dipatuhi, menjadikan UMNO sebagai penstabil negara, bukan sekadar pelengkap angka.
Sebelum menuding jari kepada UMNO, PAS wajar bercermin. PAS pernah bersama DAP dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, manakala Bersatu sendiri pernah bersama DAP dalam PH 1.0. Hanya UMNO yang tidak pernah bubar atau gadai maruah demi kuasa.
Fitnah Zuhdi tidak lebih sekadar cubaan mengalih perhatian. Sejarah membuktikan: yang khianat ialah PAS, yang setia ialah UMNO.
[Artikel ini adalah pandangan peribadi pembaca DRC. Ia tidak semestinya menggambarkan kenyataan rasmi pihak DRC]