Erma Fatima Lancar Aplikasi Digital Milik Sendiri, Tak Nak Lagi Terikat

Tidak mahu terus terikat dengan sekatan penyiaran, pengarah dan penerbit prolifik, Erma Fatima tampil dengan langkah berani apabila melancarkan aplikasi digital miliknya sendiri, Karya Reels.

Aplikasi tersebut dibangunkan sebagai platform eksklusif untuk Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 57, menyalurkan karya serta mesej yang sebelum ini tidak dapat menemui penonton akibat kekangan penapisan.

“Perjuangan pertama saya adalah untuk memiliki karya saya sendiri. Banyak benda yang saya mahu buat tetapi tidak dapat direalisasikan. Seni adalah medium terbaik untuk menyampaikan mesej, tetapi saya jarang diberi peluang memilih topik atau genre yang masyarakat benar-benar mahukan. Karya Reels membuka ruang baharu untuk kami para pengkarya,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Ibu Aji di ibu negara, semalam.

Walaupun memberi lebih kebebasan kepada pengkarya, Erma menegaskan aplikasi itu tetap menghormati garis panduan kandungan yang ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

“Memang ada peluang buat apa sahaja, tetapi saya masih berpegang pada LPF. Kalau pun ada pelanggaran, ia kecil sahaja. Contohnya drama Pondan Ini yang tidak boleh ditayangkan di televisyen, namun saya percaya mesejnya tetap sampai,” jelasnya.

Menurut Erma, idea menghasilkan Karya Reels tercetus selepas beliau sendiri terpengaruh menonton karya pendek di media sosial.

“Saya pernah terpedaya dengan short reels di TikTok dan platform lain. Trend ini sudah lama di Taiwan, China, Hollywood dan Bollywood. Kalau saya sendiri sanggup membayar untuk menonton, saya yakin orang lain juga akan tertarik. Aplikasi ini mudah diakses kerana boleh ditonton di telefon, bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya.

Melalui Karya Reels, penonton ditawarkan pelbagai genre karya Erma dengan langganan serendah RM10.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular