DAP Cadang PRU16 dan PRN Diadakan Serentak

SEREMBAN: DAP mengesyorkan supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan serentak dengan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi menjimatkan kos serta memastikan kelancaran proses pilihan raya.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata langkah itu lebih wajar dan bertanggungjawab berbanding pelaksanaan pilihan raya secara berasingan.

“Dalam sejarah negara kita, Parlimen dan DUN lazimnya diadakan secara serentak, kecuali di Sabah dan Sarawak. Serentak bukan sahaja menjimatkan kos dan memudahkan logistik, malah memberi kelebihan dari segi politik,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen DAP Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau berharap pimpinan kerajaan negeri di bawah Kerajaan Perpaduan dapat berbincang dengan Perdana Menteri mengenai cadangan tersebut, walaupun keputusan membubarkan DUN terletak pada kuasa negeri masing-masing.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban menegaskan, cadangan itu masih belum dibincangkan secara rasmi bersama pimpinan parti, namun menyifatkan ia lebih baik untuk dilaksanakan.

Menurutnya, beberapa negeri seperti Melaka, Johor dan Sarawak bakal menamatkan tempoh penggal tidak lama lagi, manakala Sabah mempunyai tempoh lebih panjang.

“Kalau hendak diadakan serentak dengan Parlimen, maka ada negeri yang perlu diawalkan. Namun, kuasa prerogatif tetap pada Perdana Menteri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli parti supaya bersiap sedia dari sekarang bagi menghadapi kemungkinan PRU16 berlangsung serentak dengan PRN.

Untuk rekod, PRU15 diadakan pada 19 November 2022 khusus bagi kerusi Parlimen, manakala pilihan raya DUN berlangsung secara berasingan mengikut negeri. Sabah menjadi negeri pertama mengadakan pilihan raya lebih awal pada 26 September 2020, diikuti Melaka (20 November 2021), Sarawak (18 Disember 2021), dan Johor (12 Mac 2022).

Tiga negeri di bawah pimpinan PH ketika itu iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, serta tiga negeri di bawah Perikatan Nasional iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, pula membubarkan DUN secara serentak dan mengadakan PRN pada 12 Ogos 2023.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular