Inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) disifatkan sebagai langkah tepat kerajaan dalam memastikan subsidi petrol RON95 tidak lagi dinikmati oleh pihak yang tidak sepatutnya termasuk warga asing.
Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi berkata, langkah ini merupakan reformasi dasar yang penting bagi menutup ruang kebocoran subsidi yang sekian lama berlaku.
“Malaysia sebenarnya sudah mempunyai mekanisme perundangan jelas melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang melarang penjualan petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.
“Namun kelemahan utama terletak pada aspek penguatkuasaan di lapangan. Kerjasama yang longgar daripada sebahagian pengusaha stesen minyak serta pengawasan tidak konsisten telah menyebabkan ketirisan subsidi terus berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.
Had 300 Liter Seorang, Subsidi Lebih Bersasar
Mengulas lanjut, Anis Anwar berkata, langkah kerajaan menetapkan siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter pada harga RM1.99 seliter bukan sahaja memastikan subsidi benar-benar sampai kepada golongan sasaran, tetapi juga mengawal daripada eksploitasi berlebihan.
Menurutnya, pendekatan baharu itu boleh dianggap sebagai usaha kerajaan untuk menyusun semula agihan subsidi agar lebih adil dan bersasar.
“Kelemahan penguatkuasaan lama telah memaksa kerajaan memperkenalkan mekanisme baharu yang lebih sistematik.
“Reformasi ini bukan sekadar menyekat ketirisan akibat penyalahgunaan oleh warga asing, tetapi juga menzahirkan komitmen kerajaan untuk melindungi kepentingan rakyat tempatan serta memastikan subsidi digunakan secara optimum bagi kumpulan penerima yang layak,” katanya.