Subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI95 akan mula berkuat kuasa pada 30 September 2025, dengan proses pengesahan kelayakan dilakukan menggunakan MyKad.
PETRONAS dalam kenyataan di media sosial mengesahkan aplikasi isian minyaknya, Setel, juga boleh digunakan untuk menikmati harga subsidi RM1.99 seliter.
Menurut syarikat itu, proses pengesahan hanya perlu dibuat sekali sahaja, dan pelanggan yang membayar melalui aplikasi tidak lagi perlu melakukan pengesahan MyKad secara manual di kaunter.
Proses pengesahan dilakukan melalui sistem e-KYC (electronic Know-Your-Customer), iaitu kaedah yang sama digunakan e-dompet dan bank digital. Sekiranya belum disahkan, pengguna perlu menghantar gambar MyKad (depan dan belakang), mengambil swafoto serta mengisi butiran peribadi untuk melengkapkan proses.
Dengan pelaksanaan subsidi bahan api hujung bulan ini, pengguna digalakkan menyiapkan pengesahan melalui aplikasi Setel lebih awal bagi mengelakkan kesesakan semasa mengisi minyak.
Seperti diumumkan sebelum ini, subsidi RON95 di bawah BUDI95 akan dinikmati oleh semua warganegara Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan, dengan kuota 300 liter sebulan bagi setiap individu. Bagi pemandu e-hailing, mereka boleh memohon tambahan kuota dengan pendaftaran akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Urusan Shell Malaysia, Shairan Huzani Husain, turut berkongsi demonstrasi bagaimana pengguna boleh melengkapkan pengesahan MyKad terus di pam minyak, melalui sebuah video yang dimuat naik secara dalam talian.